Penstrukturan semula bajet wajar bahas di Parlimen

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) tetap berpandangan sepatut dan sewajarnya penstrukturan semula dan intervensi yang diumumkan oleh  Perdana Menteri mengenai Bajet 2015 dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Sepatutnya sidang khas Parlimen diadakan untuk berbahas mengenai situasi ekonomi negara sekarang yang mempunyai implikasi besar kepada kualiti hidup rakyat.

Walaupun dikatakan ia tidak perlu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan namun ini tidak bermakna perbahasan untuk mencari jalan keluar yang disepakati bersama oleh Ahli Parlimen tidak penting. Perdana Menteri boleh sahaja mengusulkan sidang khas di Parlimen dalam masa yang singkat untuk merumuskan langkah yang terbaik.

Sebagaimana Bajet tambahan perlu mendapat kelulusan di Parlimen, maka pengurangan dan pemotongan perbelanjaan yang besar seperti yang diumumkan juga harus di bahaskan di Parlimen .

Sementara makluman kepada rakyat perlu diisitiharkan mengenai semakan semula bajet 2015 akan tetapi rakyat perlu tahu kenapa perbelanjaan sesuatu sektor itu dikekal atau sebaliknya dipotong.

Ini adalah munasabah, kerana Bajet tersebut dilulus dan dibahaskan di Parlimen pada tahun 2014 yang lalu. Jika penstrukturan semula yang signifikan diputuskan iaitu melibatkan nilai besar berjumlah  RM 5.5 bilion yang memberi kesan kepada status fiskal negara maka sepatutnya ia dibahas secara terbuka di Parlimen.

Apatah lagi jumlah tersebut sangat besar dan bakal memberi implikasi kepada kualiti hidup rakyat. Wakil rakyat perlu diberi peluang untuk membentangkan keresahan rakyat yang dijangka akan menghadapi senario kegawatan ekonomi negara dalam tahun 2015 ini jika tren kelembapan ekonomi berterusan.

Langkah yang diumumkan oleh PM dikatakan langkah proaktif. Akan tetapi tidak bermakna apa yang diputuskan oleh kerajaan secara unilateral adalah tepat. Mendengar  pandangan wakil yang dipilih oleh rakyat di Parlimen sangat perlu kerana dalam keadaan ekonomi yang gawat, semua pandangan untuk menyelamatkan negara sangat penting didengari.

Dalam keadaan ekonomi global yang mendung, perbahasan mengenai rasionalisasi perbelanjaan pengurusan negara perlu dilakukan untuk memastikan isu keciciran, salah tadbir,  korupsi dan pembaziran tidak menambah burukkan lagi kedudukan fiskal negara. Isu-isu yang menyumbang kepada krisis ekonomi sangat releven untuk dibahaskan semasak-masaknya di Parlimen.

Lantaran pendapatan negara sangat besar disumbang oleh  lima sektor utama iaitu minyak dan gas, komoditi, perkhidmatan, industri petroleum, automotif dan perbankan, maka kesan ekonomi global yang dijangka lembab pada tahun 2015 pasti akan menjejaskan semua sektor tersebut sekaligus nasib rakyat terbanyak.

Pertumbuhan ekonomi negara kini akan turut lembab  berdasarkan harga pasaran dunia. Ternyata apabila perkhidmatan jatuh 58.5%, komoditi jatuh 37.7% dan minyak dan gas  jatuh 29.3% berdasarkan rekod 4 Disember 2014 , ekonomi negara bakal menujukan kepada kegawatan.  Angka menurun dalam tiga sektor ini jika berterusan , pasti berakibat negara akan menghadapi krisis ekonomi yang serius.

Ditambah buruk lagi pula kejatuhan ringgit berbanding mata wang, Amerika, Hong Kong, Thailand, India, Taiwan dan Singapora telah menyebabkan Malaysia harus melakukan langkah yang sesuai untuk menghadapi situasi luar jangka.

Kami juga berpendapat penstrukturan bajet 2015 yang dirangsang akibat penurunan  harga minyak, harga komoditi dan nilai ringgit tidak boleh hanya dikaitkan dengan faktor luar semata-mata. Semakan jujur mesti dilakukan terhadap  bagaimana kerajaan  mengatasi masalah keciciran dan pembaziran .

Rakyat perlu tahu rasional intervensi yang diumumkan oleh kerajaan demi memastikan keutamaan yang dipilih oleh kerajaan adalah tepat  dengan masalah yang dihadapi rakyat. Ini sesuai dengan slogan awal pentadbiran Datuk Sri Najib ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri, bahawa "zaman kerajaan tahu semua telah berlalu".

Keresahan rakyat akan bertambah jika kerajaan tidak berterus-terang mendedahkan keadaan ekonomi yang berlaku sekarang. Dengan hanya memberi alasan aliran ekonomi global yang lembab , ia tidak akan meyakinkan rakyat. Rakyat mungkin tidak faham segala istilah ekonomi dan angka-angka yang didedahkan, akan tetapi apabila kehidupan harian mereka terjejas maka kemarahan akan dizahirkan. Apatah lagi apbila amalan membazir dan berbelanja mewah dan boros terus diamalkan oleh pemimpin negara. – HARAKAHDAILY 23/1/2015

Share on Myspace