Adakah Najib jadi mangsa keenam Mahathir?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Politik Malaysia negara menggelegak dengan berita tergempar baru-baru ini, lantas membangkitkan persoalan sama ada Perdana Menteri Malaysia keenam bakal menjadi mangsa keenam Mahathir.

"Atau adakah Malaysia bakal mengheret ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertamanya ke mahkamah dan ke penjara dalam kempen anti rasuah negara?" tanya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.

Katanya, sepanjang 45 tahun yang lalu, Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memangsakan lima pemimpin politik utama negara, bermula dengan Bapa Malaysia yang juga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dua Timbalan Perdana Menteri yang hampir sahaja menjadi Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga Tengku Razaleigh Hamzah, calon perdana menteri sepanjang zaman.

Persoalannya sekarang, ujar beliau ialah sama ada Mahathir akan menambah Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, ke koleksi mangsa-mangsa politiknya di Malaysia.

Namun, menurutnya Najib nampaknya tidak akan berdiam diri, dan timbul persoalan sama ada ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertama akan diheret ke mahkamah dan kemudian ke penjara dalam sejarah hambar pembanterasan rasuah di Malaysia. - HARAKAHDAILY 23/1/2015

 

Share on Myspace