Malaysia ada peluang suarakan hasrat umat Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS berharap pihak Kementerian Luar Negeri dapat bersikap terbuka untuk berdialog dan mendengar pandangan mereka berhubung penglibatan negara ini dalam isu antarabangsa.

Timbalan ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Malaysia mempunyai peluang yang luas untuk menyuarakan hasrat umat Islam di platform-platform utama peringkat antarabangsa pada tahun ini.

Katanya, Malaysia telah dipilih dengan memperoleh mandat majoriti yang kukuh untuk menganggotai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan kini giliran Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015.

Beliau merujuk kepada Resolusi PBB hujung Disember lalu, terdapat dua agenda penting untuk difokuskan iaitu pengiktirafan Palestin untuk mendapatkan hak dalam ‘Rome Statute’ Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan pembelaan terhadap masyarakat minoriti Muslim Rohingya di Myanmar.

"Rentetan itu, pihak saya akan mengatur pertemuan untuk berdialog bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman sebelum Asean Foreign Ministers’ Retreat yang dijadual akan berlangsung pada 28 dan 29 Januari di Kota Kinabalu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, objektif pertemuan itu adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung usaha-usaha yang akan diambil oleh Malaysia untuk menyokong negara Palestin, mengikis prejudis masyarakat Eropah terhadap Islamphobia, pembelaan terhadap masyarakat Muslim Rohingya dan perkembangan krisis di Selatan Thai. - HARAKAHDAILY 23/1/2015

 

Share on Myspace