Harga minyak: Percaturan geopolitik kuasa besar

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Minyak telah menjadi satu subjek yang sangat penting ketika ini. Ia telah membina satu hubungan penting di antara satu negara dengan satu negara yang lain dan mereka saling bergantung di antara satu sama lain. Ini bererti, perubahan pada polisi sesuatu negara terhadap pengeluaran minyak secara langsung memberi kesan kepada negara-negara lain sama ada kesan itu datang dalam bentuk yang positif kepada ekonomi domestik ataupun sebaliknya.

Krisis harga minyak sekali lagi melanda masyarakat dunia dan ketika ini, ia ternyata memberi kelebihan kepada pengguna kerana dapat menikmati harga minyak yang lebih rendah. Namun, situasi ini berbeza dari sudut pandang yang lebih mikro. Di sana terdapat negara yang menikmati lebihan daripada harga minyak yang rendah dan pada saat yang sama, ada pula negara yang sangat sengsara.

Arab Saudi adalah kuasa yang mempunyai pengaruh yang cukup ampuh dalam mengawal pengeluaran minyak mentah dunia. US Energy Information Administration 2012 melaporkan pengeluaran minyak mentah dunia oleh Arab Saudi adalah berkadar secara langsung dengan harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI). Tambahan lagi, Arab Saudi adalah pengeluar minyak terbesar dunia dengan kira-kira 12 juta tong sehari.

Dunia hari ini sudah pasti akan memfokuskan kepada dasar luar dan polisi semasa Arab Saudi kerana ia akan memberi kesan kepada kedudukan pengeluaran dan harga minyak mentah dunia pada hari ini. Perbincangan mengenai pengeluaran minyak mentah dunia dan organisasinya yang bertanggungjawab (OPEC) – dengan Arab Saudi sebagai negara utamanya – tidak hanya berkait soal ekonomi semata-mata, malah, segala percaturan yang berlaku adalah disebabkan faktor politik-ekonomi secara lebih mendalam.

Pada 1973, Arab Saudi – dengan sokongan daripada Mesir – telah menyekat pengeluaran minyak mentah sekaligus menyaksikan kenaikan mendadak harga minyak sebagai satu respons kepada US yang menyebelahi Israel dalam Perang Yom Kippur. Ia memberi kesan yang dahsyat kepada US dan langkah tersebut ternyata berhasil.

Hubungan politik-ekonomi terus berperanan dalam penentuan pengeluaran minyak mentah dunia dan keadaan ini berterusan sehingga ke hari ini. Beberapa perubahan kepada harga minyak berlaku terutamanya pada musim krisis politik berada pada kemuncak seperti Perang Iraq-Iran 1980, Perang Teluk 1991 dan krisis ekonomi 1998. Pada 2008 pula, harga komoditi minyak naik pada paras USD147 setong.

Dalam krisis hari ini, Russia dan Iran menjadi sasaran, sama ada secara terancang mahupun tidak. Sekatan ekonomi kuasa-kuasa besar dunia terhadap dua negara ini semakin diperhebatkan. Arab Saudi, sekutu kuat Barat, melihat ini peluang terbaik untuk melumpuhkan ekonomi negara berkenaan. Russia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kedudukan nilai mata wang ruble yang tidak kukuh ditambah lagi harga minyak mentah yang rendah memberikan kesan negatif kepada ekonomi domestik Moskow. Pada Disember 2014, Moskow telah menaikkan kadar faedah (interest rate) sebanyak 17 peratus bagi mengembalikan keyakinan pelabur namun, di sebalik sasaran mengukuhkan nilai matawang ruble, ia terus merudum jatuh.

Iran juga tidak ketinggalan menjadi mangsa akibat polisi luar biasa Arab Saudi terhadap pengeluaran harga minyak. Presiden Hassan Rouhani menganggap tekanan Arab Saudi ini adalah satu konspirasi menjatuhkan kepentingan masyarakat Islam seluruhnya. Negara yang bergantung dengan hasil eksport minyak ini juga menjadi mangsa harga minyak mentah dunia yang rendah dan dalam masa yang sama bercadang untuk bersama Venezuela yang juga anggota OPEC untuk menstabilkan kembali harga minyak pada tahun ini.

Hubungan tegang Russia, Iran dengan negara-negara barat terutamanya US dipercayai sebagai faktor utama berlakunya keadaan sedemikian. Russia musuh lama kepada US sejak dari Perang Dingin bermula manakala Iran adalah negara yang boleh mengancam keselamatan dan penguasaan US di Timur Tengah dan permusuhan itu bermula sejak penggulingan kuasa pemerintah pro-barat Shah Iran pada 1979. Sekatan ekonomi terhadap Tehran bukan perkara baharu apatah lagi kedegilan Tehran untuk meneruskan program nuklearnya sangat mencabar hegemoni US di Timur Tengah.

Arab Saudi tidak begitu terkesan dengan harga minyak mentah yang rendah meskipun ia adalah negara pengeksport terbesar minyak di dunia. Simpanan matawang luar Arab Saudi bernilai sekitar USD740 bilion dan itu sudah cukup kuat untuk menampung bajet defisit Arab Saudi jika kedudukan harga minyak terus kekal rendah. Atas dasar itu, Arab Saudi terus kekal dengan pengeluaran minyak mentah dan ini sudah pasti mendapat 'restu' US yang pada masa yang sama adalah negara pengguna minyak (oil-consuming) terbesar dunia.

Percaturan kuasa-kuasa besar dunia terhadap pengeluaran harga minyak telah memberi kesan drastik kepada ekonomi domestik di negara seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima serpihannya. Penstrukturan bajet oleh kerajaan kita membuktikan keadaan tersebut. Namun, persoalan yang belum terjawab, sampai bilakah Arab Saudi mampu bertahan?

Saat artikel ini ditulis, Arab Saudi kini di ambang politik baru dengan mangkatnya Raja Saudi, Raja Abdullah bin Abdul Aziz. Polisi politik dan ekonomi mungkin berubah lagi dan warga dunia terus berada dalam kancah percaturan kuasa-kuasa besar yang saling bercakaran. - HARAKAHDAILY 25/1/2015

Share on Myspace