Hudud dan pilihan raya PBT

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "DAP boleh tak setuju dengan hudud sebagaimana PAS boleh tak setuju dengan pilihan raya PBT," kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, membawa agenda masing-masing sepatutnya tidak dianggap melanggar kesepakatan dalam Pakatan Rakyat.

"Setuju untuk tidak bersetuju adalah tiang keutuhan PR," tulisnya menerusi facebook.

Justeru, bagi beliau PAS bersikap 'buat faham' dan tidak menuduh DAP mencabul kesepakatan PR apabila DAP secara sendirian membawa agenda mereka di Pulau Pinang.

"Soal sekarang, ketika PAS mengambil sikap sama di Kelantan, mengapa PAS dikata mencabul kesepakatan dalam PR?" soal beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau menambah, PAS terus maju menghormati sistem demokrasi negara dengan membawa enakmen jenayah syariah itu ke parlimen Malaysia untuk dibahas walaupun ia sudah lebih 20 tahun diluluskan di Dun Kelantan dan ditangguhkan pelaksanaannya demi menghormati hak undang-undang negara.

Cuma, tanya beliau adakah pilihan raya PBT tak perlu ke parlimen sebagaimana hudud.

"Itu saya tak pasti, kena rujuk kepada orang undang-undang," ujarnya lagi.

Kata Nik Abdul lagi, jika Pulau Pinang berjaya mengadakan pilihan raya PBT, adakah PAS akan menganggap ianya mencabul PR.

"Jawabannya, tidak. Itu kejayaan DAP dengan impiannya. Boleh DAP terima kami di Kelantan jika begitu?" ujarnya. - HARAKAHDAILY 25/1/2015

 

Share on Myspace