Kapasiti air empangan sekitar Selangor memuaskan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kapasiti air di beberapa empangan sekitar Selangor kini berada pada tahap memuaskan, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Justeru, Mahdzir secara positif menjangkakan walaupun cuaca panas dan kering sudah bermula, tahap bekalan air bersih pada tahun ini akan lebih baik berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Sehingga semalam, Empangan Sungai Selangor berada pada bacaan 80 peratus, Empangan Sungai Tinggi sekitar 70 peratus, Empangan Klang Gate dianggap 100 peratus dan Empangan Sungai Langat juga pada paras menghampiri 100 peratus.

"Jadi berdasarkan kepada keseluruhan air mentah dari empangan-empangan yang disebutkan tadi, kita yakin (bekalan air bersih) kita boleh berada dalam keadaan lebih baik berbanding tahun lepas," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Gotong-Royong Khas Membanteras Denggi di Kampung Melayu Batu 16 di Rawang dekat sini, anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Selayang.

Sebahagian Selangor dan Lembah Klang mengalami catuan air secara berjadual dan berperingkat selama tiga bulan, antara Februari dan April tahun lepas, ekoran kekurangan bekalan air akibat cuaca panas dan kering.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemantauan rapi terhadap paras semua empangan dan sungai di negara ini.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemah serta tidak melakukan pembaziran walaupun bekalan air setakat ini masih stabil. - Bernama

 

Share on Myspace