Rotan cara mendidik anak

SITI ZAILAH MOHD YUSOFF | .

Seandainya setiap ibu bapa memahami kepentingan rotan kepada anak-anak, serta mengetahui bahawa rotan ini adalah dari anjuran Rasulullah sollallahualaihiwasallam, maka sudah tentu cara ini diamalkan sepanjang masa dan ketika.

Ramai pakar motivasi yang tidak bersetuju dengan penggunaan rotan untuk mengajar anak-anak. Apakah puncanya pakar-pakar motivasi ini memandang rotan secara negatif?

Sememangnya tentu ada sebabnya yang tertentu, namun bagi kita, Rasulullah sollahu'alaihiwasallam ada menyebut tentang rotan ini dalam hadis-hadis baginda, misalnya:

رَحِمَ اللهُ عَبداً عَلَّقَ في بيتِهِ سَوطاً يُؤَدِّبُ أَهْلَهُ
(رواية الأمام السيوطي)
(Rahmat Allah kepada seseorang hamba yang menggantungkan di dalam rumahnya rotan, dengan tujuan mengajar adab dengannya akan keluarganya.)

Dalam hadis baginda yang lain ada dinyatakan:
لَأَنْ يُؤَدِّبُ أحَدُكُم ولَدَهُ بسَوطٍ خيرٌ لهُ من أن يتصدَّقَ عنه صاعٍ
ابن حجر في تحرير المقال
(Bahawa mengajar adab seseorang terhadap anaknya dengan memukulnya dengan rotan, terlebih baik dari berbuat sedekah dengan satu gantang zakat fitrah.)

Manakala hadis yang selalu kita dengar dibaca orang ialah:
مُروا الصبِيَّ بالصلوات إذا بلغَ سَبْعَ سنين وإذا بلغَ عشرَ سنين فاضرِبوا عليها
رواه أبو داود والطبراني في الكبير
(Suruh olehmu anak-anakmu dengan sembahyang ketika umur mereka 7 tahun, dan apabila telah sampai umurnya 10 tahun, maka pukul olehmu jika ia meninggalkan sembahyang.)

Berdasarkan 3 hadis di atas, anak-anak yang agak degil dengan solat ini perlu serba sedikit diadabkan dengan rotan, agar mereka sedar bahawa meninggalkan solat itu amat besar dosanya.

Rasulullah sollallahualaihiwasallam menyuruh kita mengajar adab dan akhlak dengan pemantauan secara berotan, jika kelihatan anak-anak itu dari kalangan manusia yang patuh dan taat, maka rotan tidak perlu digunakan.

Namun menggantungkan rotan di rumah masih-masing adalah tanda untuk memperingatkan anak-anak agar sentiasa ingatkan solat serta berakhlak tinggi.

Maka kesannya, sudah tentu anak-anak dapat diajar sejak dari kecil dan diadabkan dengan cara yang benar-benar mengikut aturan agama.

Namun, rotan yang dianjurkan Islam sebenarnya bukanlah rotan yang boleh mendatangkan luka atau parah. Ia adalah rotan yang bertujuan mendidik.

Pakar-pakar motivasi perlu melihat dalam ruangan yang amat positif, agar kaedah rotan ini menjadi salah satu cara terbaik yang mampu mengadabkan anak-anak. - 25/1/2015

Penulis ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

 

Share on Myspace