Ketepikan perbezaan, sepakatlah dalam kesatuan

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

SETIAP parti mempunyai dasar dan agenda masing-masing. Atas prinsip perjuangan posisi dan dasar inilah yang menjadi nadi untuk setiap parti untuk terus berjalan dan terus maju.

Apabila wujudnya gabungan politik antara parti, maka harus wujudlah pula sikap tolak ansur dan hormat-menghormati antara setiap parti.

Apabila jurang perbezaan yang diperbesarkan, maka akan mengecillah ruang persamaan. Jika ini berterusan, muafakat itu akan pasti hancur.

Sebaliknya, apabila kita membesarkan ruang persamaan, maka akan kecillah jurang perbezaan. Dengan itu, muafakat itu akan kekal dan subur.

Sikap inilah yang sepatutnya dikekalkan seandainya Pakatan Rakyat ingin terus kekal. Bukankah PR pernah bersetuju bahawa persamaan antara 3 parti adalah jauh melebihi perbezaan antara mereka? Mengapa harus terus bertelingkah atas perkara yang berbeza tapi mengetepikan perkara yang membawa kita bersama?

Rakyat Malaysia sudah naik muak dengan pertembungan dan saling menyerang antara satu sama lain.

Masalah dalaman mesti dibawa ke meja perundingan dan dasar dan perjuangan setiap parti mesti dihormati.

Andainya ketiga-tiga parti merasakan jurang perbezaan terlalu besar dan tidak mungkin lagi adanya muafakat serta sikap saling menghormati, barangkali sudah sampai masanya untuk memikirkan semula segalanya kerana setiap parti sedar bahawa tiada parti yang boleh berjaya jika ia bersendirian.

Namun, hakikatnya, semua sayangkan gabungan ini, dan rakyat pernah berharapan besar untuk gabungan politik ini.

Oleh itu, PR perlu memandang ke hadapan dan melihat musibah besar yang sedang melanda negara dan keperluan rakyat ini memerlukan perubahan besar kepimpinan politik negara.

Isu rasuah, salah guna kuasa, hutang negara dan bebanan ekonomi rakyat, isu keselamatan negara dan penyalahgunaan kuasa kepimpinan BN semua memerlukan tindakan dan perhatian segera dan khusus. Semua ini medan yang baik bagi membina persamaan antara parti komponen PR dan juga mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PR. - HARAKAHDAILY 26/1/2015

Penulis ialah Naib Presiden PAS.

Share on Myspace