Makan malam Pemuda PAS kumpul dana PRN Sarawak

| .

KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan majlis makan malam pada 28 Januari ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya ini bagi mengumpul dana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Makan malam itu akan dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan akan turut disertai pimpinan PAS Sarawak serta pimpinan Pakatan Rakyat lain yang akan berkongsi dan memberikan gambaran mengenai gerak kerja bagi menghadapi PRN ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan, PRN ini penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat untuk menambah kerusi dan mengekang kuasa Barisan Nasional (BN) yang berkuasa lebih setengah abad di Sarawak.

"PRN Sarawak yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang merupakan PRN kali pertama semenjak peralihan kuasa dari Tun Abd Taib Mahmud kepada Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri.

"PRN ini cukup penting pada Ketua Menteri yang baru kerana ia menjadi kayu ukur kepada penerimaan rakyat Sarawak kepada beliau," kata beliau dalam kenyataan media kepada Harakahdaily.

Justeru beliau menyeru pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat di setiap peringkat serta orang ramai membeli kupon dan hadir bagi membantu hasrat PAS Sarawak untuk melahirkan anak sulungnya yang pertama di bumi Kenyalang.

Bagi membeli tiket dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung makan malam tersebut, orang ramai boleh menghubungi Basyir Semanon di talian 012-5912760. - HARAKAHDAILY 26/1/2015

Share on Myspace