Polemik pilihan raya tempatan dan hudud

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

RAKYAT Malaysia kini telah melalui proses kematangan dalam menilai tindak-tanduk ahli politik apabila sesuatu isu itu dibahaskan. Setelah merdeka hampir 60 tahun, ahli politik tidak boleh lagi menganggap rakyat tidak mampu membuat penilaian terhadap tindak-tanduk dan sikap yang diambil oleh pemimpin-pemimpin parti politik terhadap sesuatu isu yang diperdebatkan. Rakyat akan menilai hujah yang lebih berfakta dan bukan sentimen serta emosi yang kadangkali tidak berpijak di bumi nyata.

Polemik terkini tentang pilihan raya kerajaan tempatan adalah satu isyarat bagaimana rakyat sedang menilai hujah yang kita berikan, ini termasuklah hujah tentang perlaksanaan hudud di Kelantan serta isu lain yang telah menjadi perbualan rakyat sejak sekian lama seperti rasuah, kepincangan tata-kelola kewangan negara dan pembaziran.

Oleh itu ada beberapa perkara yang diperhatikan dalam perkembangan mutakhir apabila isu pilihan raya kerajaan tempatan menjadi polemik;

1. Polemik pilihan raya kerajaan tempatan muncul sebagai reaksi kepada isu hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan kerana kedua-dua isu tersebut adalah di dalam bidang kuasa kerajaan negeri di Kelantan dan Pulau Pinang. Ini sekaligus mengheret PAS dan DAP di arena balas membalas kenyataan.

2. Isu hudud yang didakwa oleh DAP sebagai bukan dalam senarai agenda  persetujuan Pakatan Rakyat dibalas oleh rakan dari PAS dengan menyatakan pilihan raya kerajaan tempatan juga bukan agenda Pakatan. Ini membuatkan orang ramai tertanya apakah sebenarnya persetujuan bersama agenda Pakatan?

3. Hujah kedua belah pihak lebih kepada kaedah satu peluru lawan satu peluru sehingga membawa kepada perbalahan antara rakan sekutu politik. Perbalahan ini menjejaskan fokus agenda besar manifesto Pakatan di mana rakyat telah memberikan mereka kepercayaan yang besar dalam pilihan raya umum yang lalu.

4. Pihak Barisan Nasional secara strategi politiknya amat memerlukan perbalahan antara parti komponen Pakatan berterusan sama ada dalam isu hudud mahupun pilihan raya kerajaan tempatan mahupun isu-isu perkauman supaya masalah besar negara seperti keadaan ekonomi yang gawat, kelemahan BN menjadi kerajaan yang bertanggungjawab serta pengendalian tata kelola kewangan yang lemah dapat dialihkan tumpuan.

5. Dalam polemik hudud vs pilihan raya kerajaan tempatan, isu perkauman sempit masih mendasari hujah dan sekaligus menafikan perbahasan yang sihat terhadap memperkukuhkan proses demokrasi di peringkat akar umbi, isu keperlembagaan dan ruang konsultasi rakyat serta dasar nasional yang bertujuan mengasaskan kesatuan dalam kepelbagaian.

Oleh itu, semua pihak hendaklah kembali kepada isu sebenar yang menjadi intipati perdebatan iaitu pengukuhan proses demokrasi, membuat sesuatu keputusan perundangan mengikut peruntukan perlembagaan dan apabila ia menjadi perdebatan awam maka hendaklah diajukan secara sihat melalui dialog dan rundingan. Sama ada hudud ataupun pilihan raya kerajaan tempatan, selagi ia tidak lari dari kerangka undang-undang negara maka semua pihak hendaklah menjadikan perundangan dan konsultasi awam sebagai referensi.

Justeru itu, sama ada hudud ataupun pilihan raya kerajaan tempatan, pastikan ia tidak ditunggangi oleh golongan sempit yang melihat semuanya dari kaca mata perkauman mahupun persepsi prejudis sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan mengalihkan tumpuan kepada isu lebih besar yang melanda negara iaitu terjejasnya pendapatan negara akibat merudumnya harga minyak mentah dan susutnya nilai ringgit hari ini. – HARAKAHDAILY 26/1/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Malaysia, Pengerusi Gerakan Anti Perkauman (GAP), Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS, Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Share on Myspace