Sirul harus diberi ruang beri pernyataan umum

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

TAIPING: Individu yang dituduh terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu harus diberikan ruang untuk memberikan penyataan umum kepada seluruh masyarakat termasuklah dalam dan luar negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, diakui Sirul Azhar Umar telah didapati bersalah membunuh dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi timbulnya kesangsian apabila mahkamah tidak menyatakan motif pembunuhan tersebut.

Menurutnya, mahkamah bukan sahaja tidak menjelaskan motif pembunuhan hatta mengganggap ianya satu perkara yang tidak penting.

Katanya, keputusan itu juga tidak menjelaskan berlaku kemungkinan ada individu mahupun pihak lain yang terlibat menjadi dalang pembunuhan tersebut sebaliknya hanya meletakkan beban itu kepada pembunuh semata-mata.

"Mahkamah hanya mencari pembunuh, memang diakui berlakunya perbuatan membunuh itu tetapi mahkamah tidak mencari sebab kenapa berlakunya pembunuhan itu.

"Ini satu perkara yang sangat tidak wajar, sebab itu oleh kerana mahkamah tidak menyatakan motif pembunuhan, maka Sirul dan Azilah itu sendiri harus diberikan hak untuk membuat pernyataan umum," katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas melawat ibu kepada Sirul Azhar di kediamannya dekat Changkat Jering, Bukit Gantang semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Exco Pemuda PAS Malaysia, Salman Saleh.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan, Sirul seharusnya diberi ruang seluas-luasnya untuk menjelaskan perkara sebenar bagi merungkai segala kekusutan serta persoalan dalam kalangan masyarakat seterusnya mengetahui siapa dalang dan apakah motif sebenar pembunuhan tersebut.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, Ahli Parlimen PAS termasuk beliau sendiri akan memperjuangkan nasib Sirul di Dewan Rakyat dalam persidangan kelak.

Katanya, PAS akan membantu mendapatkan keadilan terhadap Sirul dengan tidak sesekali bermaksud menafikan keputusan mahkamah.

Ini kerana kata beliau, PAS berasa Sirul mempunyai hak untuk diberikan peluang bagi menjelaskan kejadian sebenar bagi mempertahankan dirinya.

"PAS bersama Pakatan Rakyat akan membantu sedaya mampu untuk memberikan keadilan kepada Sirul terhadap kes ini.

"Kami harap keluarga tabah dan tidak henti berdoa agar keadilan dapat ditegakkan seterusnya mengetahui akan apa sebenar-benarnya kes ini," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 26/1/2015

Share on Myspace