P'raya PBT, selesai secara muafakat - Mohd Sabu

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat perlu mengambil penyelesaian secara muafakat terhadap isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan oleh Kerajaan Pulau Pinang, demikian menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Melalui pendekatan itu, Mohamad Sabu yakin ia dapat diselesaikan dengan cara bijaksana dan dapat diterjemahkan sebaik mungkin.

"Penyelesaian secara muafakat saya yakin dapat dijelmakan," kata Mohamad Sabu yang kini berada di luar negara melalui kiriman 'Whatsapp' kepada Harakahdaily.

Tegasnya, lebih elok tiga pimpinan parti Pakatan Rakyat membuat perbincangan khusus hal kerajaan tempatan sama ada perlaksanaan di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat atau selepas menguasai pusat nanti.

"Presiden PAS sudah bagi pandangan hal kerajaan tempatan dan diikuti beberapa pemimpin PAS Pusat. Begitu juga SU Agong DAP dan beberapa jawatankuasa juga bagi pandangan masing-masing serta pimpinan PKR," katanya.

Kelmarin Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP boleh melebarkan jurang antara kaum dan mendorong kepada insiden seperti 13 Mei.  

"Apatah lagi apabila kita melihatnya daripada aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar majoriti kaum Cina yang sangat besar.

"Lihat sajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di Majlis Daerah di kawasan desa di Selangor yang pula majoriti satu kaum yang lain," kata Abdul Hadi Awang.

Pilihan raya PBT diadakan di Pulau Pinang pada tahun 1950-an dan 60-an, tetapi amalan itu digantung melalui akta Parlimen pada 1965 kerana Darurat. – HARAKAHDAILY 26/1/2015

Share on Myspace