Banjir: Pasti Kelantan perlu RM1.8 juta

IZWAN ABDUL HALIM | .

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan memberi perhatian serius terhadap kesan banjir yang menyebabkan tergendalanya operasi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di negeri itu.

Sehubungan itu, satu usaha proaktif digerakkan segera menerusi Tabung Pemulihan Pasti Kelantan yang akan dilancarkan di Pusat Latihan Pasti Kelantan, Kedai Buluh, esok (27 Januari), 12 tengahari.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fahdli Shaari berkata, pihaknya memahami kesan dan akibat dari banjir yang berlaku telah memusnah dan merosakkan banyak premis Pasti di negeri itu khususnya di Jajahan Kuala Krai.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila ia memberi kesan psikologi khususnya kepada para pelajar pra-sekolah itu yang mungkin terjejas dan terganggu untuk melangsungkan pembelajaran.

“Pendidikan adalah perkara yang sangat menjadi perhatian kritikal kami Pemuda PAS dan saya melihat keperluan segera untuk melakukan pemulihan asas. Suasana pembelajaran untuk anak-anak diperingkat usia ini mesti dihindari dari traumatik.

“Kami percaya dokongan semua kepada perkara ini, maka kami akan lancarkan tabung tersebut agar seluruh masyarakat yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan,” ujarnya yang juga Pengarah Jabatan Pasti Kelantan.

Pelancaran tersebut nanti diadakan serentak dengan perasmian bangunan baru Pusat Latihan Pasti Kelantan yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Maklum Fadhli, dari 363 Pasti di seluruh negeri Kelantan, 136 daripadanya terjejas akibat banjir terutama di Kuala Krai yang mengalami banjir ekstrem.

Dari penilaian awal pihaknya, pemulihan semula yang dirancang memerlukan sekurang-kurangnya dana sebanyak RM1.8 juta.

Sehubungan itu, beliau merayu sumbangan individu, korporat atau mana-mana pihak untuk membantu termasuk dengan menjadikan program anak angkat untuk Pasti tertentu. Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam atas nama Pasti Negeri Kelantan bernombor 03102010002868. – HARAKAHDAILY 26/1/2015

Share on Myspace