Masa ini saya lebih senang berdikari - Mejar Zaidi

| .

KEPALA BATAS: Mejar Zaidi Ahmad tetap dengan pendirian tidak mahu terikat dengan mana-mana organisasi sebaliknya mahu menumpukan sepenuih perhatian kepada perniagaan gula Steviayang sedang diusahakan.

Bekas Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, buat masa ini, beliau gembira menguruskan perniagaan tersebut kerana banyak berhubung dengan orang ramai pada setiap masa di samping dapat membantu mereka memperkenalkan produk untuk mengatasi penyakit kencing manis itu.

"Masa ini saya lebih senang berdikari dengan perniagaan gula Stevia sebab boleh bertemu orang ramai sekaligus membantu mereka mengatasi penyakit kencing manis.

"Buat masa ini saya tak mahu terikat dengan kerja lain. Semalam pun saya ke pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan dia tawarkan kerja namun saya belum memikirkanya semata-mata nak bagi tumpuan pada gula Stevia," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kepala Batas Ahad lalu.

Beliau menerima kunjungan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Mejar Zaidi juga menambah, perniagaan beliau sekarang membolehkannya bergerak bebas serta boleh membantu jemaah menyampaikan risalah Islam atau cerita di sebalik pemecatannya daripada TUDM.

Beliau juga bertekad akan menaruhkan seluruh jiwa raganya kepada perjuangan Islam sekiranya dipanggil menyampaikan risalah kebenaran sedikit masa lagi memandangkan sekarang ini beliau masih menerima gaji terakhir daripada majikannya.

"Jika tidak pun saya masih boleh menanggung keluarga dengan menjadi nelayan kerana memang dari kecil dikelilingi masyarakat nelayan berdekatan kampung saya di Kampung Tengah, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah," ujarnya tenang.

Menurut bekas juruterbang pesawat pejuang itu juga, beliau amat berhajat mahu menguatkan Pakatan Rakyat yang disifatkan sedikit lemah dalam mendekati rakyat ketika ini.

"Apa guna kita bertelagah sesama sendiri sebab yang untung ialah BN. BN akan tetap berkuasa manakala kita tetap sebagai pembangkang.

"Matlamat ke Putrajaya tinggal angan-angan walhal sebahagian besar rakyat mahu menumbangkan era pemerintahan BN yang sudah terlalu tua, " tegasnya. - HARAKAHDAILY 27/1/2015 

Share on Myspace