WWW1: Tunggulah apa keputusannya, kata Nizar

| .

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini membenarkan permohonan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan kes saman fitnah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung isu pembidaan plat WWW1.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan rayuan Nizar terhadap keputusan mahkamah tinggi yang menolak tuntutan fitnah beliau (plaintif) terhadap TV3.

Lima hakim yang diketuai Tan Sri Md Raus Shariff menerima permohonan tersebut berkaitan persoalan berat sebelah yang dibangkitkan TV3 terhadap Pengerusi Panel Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Ariff Md Yusof.

Alasan yang diberikan oleh TV3, pada tahun 2009, ketika Mohd Ariff menjadi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau menarik diri daripada mendengar kes Menteri Besar Perak pada tahun 2009 yang melibatkan Nizar (plaintif) atas alasan wujudnya persepsi berat sebelah.

Namun ketika kes ini didengar di Mahkamah Rayuan, hakim yang sama tidak berbuat demikian ketika melibatkan individu yang sama iaitu Nizar.

Oleh yang demikian, Mahkamah Persekutuan hari ini menerima pemohonan TV3 berkaitan perkara tersebut atas faktor persepsi umum.

Mohamad Nizar bagaimanapun memberitahu, beliau tidak mengenali dan tidak mengetahui hakim yang dimaksudkan tersebut sehingga ia dibangkitkan oleh TV3.

"Buktikan (jika ada hubungan dengan Mohd Ariff), saya tidak mengenali beliau sehingga TV3 bangkitkan isu ini.

"Saya serah kepada hakim membuat keputusan berhubung kes ini, tunggulah apa keputusannya," katanya lagi.

Adun Changkat Jering itu diwakili peguam Mohamad Zamri Ibrahim dan Mohd Fitri Asmuni manakala Liew Teck Huat, Lim Qi Si dan Wee Jason mewakili pihak defendan.

Pada tahun 2012, Mohammad Nizar memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap TV3 dan utusan Utusan Melayu (M) Berhad berhubung kenyataannya berkenaan pembidaan pendaftaran kenderaan WWW 1 yang dibida dengan harga RM520,000 oleh Sultan Johor. - HARAKAHDAILY 27/1/2015

Share on Myspace