Rakyat tak dapat maklumat, adakah kerajaan negeri ikhlas

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketidakpuasan hati rakyat dalam mendapatkan maklumat berhubung sesuatu isu dikatakan berpunca daripada pihak ketiga yang lewat atau tidak menyalurkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), Hannah Yeoh, berkata keikhlasan kerajaan negeri dipersoalkan mengenai perkara itu berikutan kelewatan atau kegagalan berbuat demikian.

Menurutnya, orang ramai kecewa kerana maklumat dipohon gagal diperoleh, lapor Selangor Kini.

“Memang orang ramai bertanya sama ada kerajaan negeri ikhlas dalam melaksanakan enakmen kebebasan maklumat kerana isu besar seperti memorandum perjanjian (MoU) air, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) tidak dijawab,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Hannah berkata, berdasarkan sesi pendengaran awam berkenaan enakmen kebebasan maklumat itu memang diakui Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammed Khusrin Munawi, terdapat kekangan dan kelemahan dalam pelaksanaannya.

Katanya, seperti dimaklumkan memang permohonan ketiga-tiga isu ini melebihi tempoh 30 hari dan berbulan lamanya baru mendapat maklum balas.

“Untuk MoU air, kerajaan negeri menulis kepada Kerajaan Pusat untuk dapatkan kebenaran.

“Secara lisan, menteri kata tak boleh dan surat belum dijawab. Kalau tiada kebenaran pihak ketiga memang tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai seharusnya memahami akan perkara berkenaan.

Katanya, Selcat juga akan menjalankan siasatan mengenai perbelanjaan RM246,000 yang digunakan bagi tujuan kursus dan latihan pegawai maklumat.

“Laporan berhubung sesi pendengaran ini akan dibentangkan dalam sidang dewan pada Mac ini,” katanya.

Share on Myspace