Zahid, Azmi dicabar jawab kontrak monopoli VDR

| .

KUALA LUMPUR: PKR mencabar Menteri dan bekas Menteri Dalam Negeri memberikan penjelasan dalam masa 24 jam berhubung peranan mereka dalam memberikan kontrak monopoli Visa Dengan Rujukan (VDR) dan pemeriksaan kesihatan di negara sumber melalui modul eVDR dan Bio-Medical masing-masing kepada Bestinet Sdn. Bhd. (BESTINET).

Jika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Azmi Khalid yang juga merupakan pengarah BESTINET gagal berbuat demikian, PKR akan mendedahkan satu maklumat lanjut yang 'sangat kritikal'.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, PKR telah memberikan tempoh seminggu kepada menteri dan bekas menteri itu namun mereka membisu berhubung isu tersebut dan enggan tampil untuk merungkai keraguan rakyat.

Maka katanya, PKR perlu membuat pendedahan lanjut mengenai individu di belakang BESTINET untuk tindakan pihak berkenaan.

"Seorang lagi pengarah penting BESTINET ialah Datuk Tengku Omar Tengku Bot yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia dan mempunyai hubungan yang rapat dengan bekas menteri Azmi Khalid.

"Mereka juga mempunyai kepentingan bersama dalam syarikat lain seperti Raffles Care," kata beliau dalam kenyataan bersama Adun Semambu, Lee Chean Chung.

Selain itu, Johari mendedahkan, melalui penguasaan sebuah syarikat bernama JR Joint Resources Holding Sdn. Bhd., Tengku Omar menguasai lebih 99 peratus syarikat BESTINET.

Katanya, seperti BESTINET yang sebelum ini hanya syarikat RM2 dan tidak menghantar Laporan Akaun selama 4 tahun, JR Joint Resources juga tidak menghantar laporan akaun sejak tahun 2010.

Laporan Kewangan terbaru yang dihantar adalah bertarikh tahun 2007 dan ini telah melanggar Akta Syarikat 1965.

"Kami ingin mengimbas kembali bahawa mulai 15 Jan 2015, semua pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing di negara sumber dan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) tidak boleh diuruskan di kaunter Jabatan Imigresen, sebaliknya perlu dilakukan sepenuhnya secara atas talian melalui sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang dibangunkan oleh BESTINET," katanya.

Selain itu katanya, semua pusat pemeriksaan kesihatan di negara sumber pekerja-pekerja asing juga wajib menggunakan sistem BESTINET.

"Ini telah mencetuskan ketegangan dengan agensi tenaga kerja serta kementerian negara Nepal apabila mereka diwajibkan untuk mengguna sistem Bio-Medical mulai 15 Jan 2015.

"BESTINET bukan saja akan mengaut keuntungan besar melalui penguasaan monopoli eVDR dan Bio-Metric, tetapi juga bakal meningkatkan kos pengambilan pekerja asing dan apabila penambahan kos ini tidak dipantau, ia akan mendedahkan pekerja-pekerja asing kepada risiko eksploitasi dan pemerdagangan manusia, katanya. - HARAKAHDAILY 27/1/2015

Share on Myspace