Bawa pilihan raya kerajaan tempatan ke parlimen

HARAKAHDAILY | .

 KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, membawa isu pilihan raya tempatan ke parlimen ini adalah jauh lebih baik dari bertengkar di media.

Katanya, pada 14 Ogos 2014, permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk diadakan pilihan raya kerajaan tempatan telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Beliau berkata, seperti Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, kelulusan usul di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) sahaja untuk pilihan raya kerajaan tempatan sahja tidak cukup, kerana ada perkara yang terhalang di peringkat Perlembagaan Persekutuan.

"Jika DAP yakin bahawa pilihan raya kerajaan tempatan merupakan usaha menyuburkan sistem demokrasi, maka usahalah membentang ini ke Parlimen, mungkin secara private bill, kerana ini juga adalah sebahagian dari amalan demokrasi," ujarnya dalam sau kenyataan.

Menurut beliau, PAS sedia berhadapan dengan risiko ditolak dan ditentang oleh rakan Pakatan Rakyat jika kerajaan Kelantan mengemukakan private bill untuk Enakmen Jenayah Syariah di negeri itu.

Beliau menegaskan bahawa PAS menerima hakikat bahawa DAP akan menentangnya.

Sebagaimana PAS, ujarnya DAP juga harus bersedia menghadapi kemungkinan cadangan pilihan raya kerajaan tempatan ditolak di peringkat parlimen.

"Tapi, membawa perkara ini ke parlimen adalah lebih baik bagi DAP kerana kebarangkalian akan ada ahli parlimen PAS yang akan menyokong pilihan raya kerajaan tempatan adalah lebih tinggi daripada kebarangkalian adanya ahli parlimen DAP yang akan menyokong hudud," kata beliau.

Beliau berkata, hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah dasar yang dipersetujui bersama.

Kedua-duanya, kata beliau tiada konsensus untuk dilaksanakan dan ini diakui DAP dan PAS sebagai satu persamaan antara kedua-dua parti itu.

Katanya lagi, DAP telah bertindak menggunakan cara mahkamah untuk mendapat kelulusan bagi melaksanakan pilihan kerajaan tempatan.

Menurut beliau, meskipun ia tidak berjaya, tapi ia jelas menunjukkan konsensus PR tidak diperlukan untuk DAP meneruskan janji manifestonya untuk Pulau Pinang.

"Apakah hanya PAS di Kelantan yang perlu didesak untuk mematuhi konsep konsensus PR, manakala komponen parti lain tidak memerlukannya, untuk mengotakan janji pilihan rayanya untuk melaksanakan hudud di Kelantan?" tanya beliau.

Akhirnya, ujar beliau membawa pilihan raya tempatan ke parlimen adalah jauh lebih baik dari bertengkar di media, dan mencemuh mereka yang melahirkan kebimbangan terhadap kesan negatif pilihan raya kerajaan tempatan. - HARAKAHDAILY 27/1/2015

Share on Myspace