Surat Zahid kepada FBI kekal misteri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penafian demi penafian, itulah yang dapat dilihat di dalam isu surat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada FBI, kata Datuk Mahfuz Omar.

"Beliau memberikan alasan bahawa amalan mengutus surat itu bukanlah luar biasa kerana menteri-menteri sebelumnya pun turut melakukan perbuatan yang sama," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat iu dalam satu kenyataan.

Namun, katanya apabila Menteri Pertahanan sekarang, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan beliau pernah menulis surat sedemikian rupa ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum Zahid, begitu juga, yang terbaru penafian dibuat pula oleh Tan Sri Syed Hamid Albar, timbul pula persoalan siapa yang menipu sebenarnya.

Beliau berkata, Hishammuddin begitu bersungguh membuat penafian sedangkan dikatakan Zahid sudah membuat penjelasan berkenaan isu itu di dalam mesyuarat kabinet.

Hal ini, ujarnya secara tidak langsung menzahirkan perbalahan dalaman Umno iaitu terdapat pihak tertentu yang ingin mematikan karier Zahid yang juga Naib Presiden 1Umno.

Tambahnya, tidak kurang juga khabar yang mengatakan kini perancangan terancang sedang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak untuk menaikkan sepupunya sendiri, Hishammuddin sebagai bakal pengganti jawatan Perdana Menteri sekaligus menafikan Zahid selaku Naib Presiden yang paling kanan.

"Perbalahan dalaman Umno yang kian kronik ini sudah menjadi rahsia umum. Apatah lagi, PM Najib juga sedang diasak dengan begitu kuat oleh gabungan Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS sambil menyatakan 'jikalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang'.

Bahkan, kata beliau Datuk Seri Shahidan Kassim pun mengumumkan kesediaan untuk menjadi orang tengah dan pendamai antara puak yang bertelagah itu.

Menurutnya, perbalahan dalaman Umno bukanlah soal perjuangan membela rakyat seperti yang dicanang tetapi hakikatnya ialah perjuangan merebut dan membolot kuasa, takhta dan harta sesama sendiri.

'Yang paling rugi dalam hal ini ialah rakyat jelata yang menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata, persoalan keselamatan rakyat telah diperjudikan dan dijadikan batu loncatan oleh pemimpin Umno untuk menjatuhkan antara satu-sama lain.

Justeru, kata Mahfuz Isu pokok berkenaan surat Zahid itu terus kekal misteri yang tidak terungkai dan tersimpul rapi di bawah perlindungan Akta Rahsia Rasmi 1972. - HARAKAHDAILY 28/1/2015

 

Share on Myspace