Tidak wajar curigai institusi pondok - Mapim

HARAKAHDAILY | .

MAPIM berpendapat institusi pondok dan madrasah tidak harus dicurigai dan dilabel sebagai institusi yang melahirkan kelompok militan. Tanggapan dan andaian umum bahawa seolah pondok merupakan punca wujudnya individu berkecenderungan militan adalah sama dengan polisi yang diperkenalkan oleh kuasa imperialis Barat yang mahu menanam kecurigaan dan fobia dikalangan masyarakat awam kepada institusi pondok di negara-negara umat Islam. Demikian tegas Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan medianya kepada harakahdaily.

“Mengaitkan pondok dengan isu keselamatan adalah agak keterlaluan. Jika ada kes mereka yang mengajar atau belajar dipondok terlibat dengan aktiviti militan ia harus dilihat diperingkat individu dan bukan menggambarkan secara umum seolah institusi pondok adalah punca fahaman ekstremisme dan militan.

“Dalam perdebatan politik dunia kini yang sangat polarisitik, institusi pondok tidak harus dikambing hitamkan. Pondok sebagai simbol institusi tradisional Islam di negara ini tidak harus menjadi mangsa kepada tanggapan yang negatif,” nyata Mohd Azmi.

Menurut Mohd Azmi lagi, setelah insiden September 11, memang kuasa besar Barat melalui pelbagai agensi sekuritinya seperti CIA, MI 5 dan MOSSAD telah melihat madrasah, pondok dan pesanteran sebagai sebahgian daripada program "memerangi terorisme" dengan itu mereka mendesak semua kerajaan negara Islam diseluruh dunia memantau madrasah tradisional.

Pada hakikatnya madrasah dan pondok bukan sumber kepada kewujudan kumpulan radikal. Malah pemikiran yang mempengaruhi pelbagai kelompok untuk memisahkan masyarakat Islam kepada label ekstrimis, moderate dan terrrorist itulah yang sebenarnya punca kepada ketegangan. Malah ketidakseimbangan darjat sosio-ekonomi serta ketidakadilan sosial yang berlaku dalam proses pembangunan negara dan dunia turut  menyemarakkan konflik dalam masyarakat.

Bagi Mohd Azmi  pendidikan arus perdana yang lebih diutamakan serta segala kemudahan yang diberi kepada institusi yang ditaja oleh kerajaan dan syarikat konglomerat itulah yang telah menyisih institusi pondok dan madrasah dan akibatnya ini telah melahirkan rasa terpinggir oleh para pendidik dan pelajar madrasah dan pondok.

“Harus diingat sumbangan berdekad-dekad pondok dan madrasah yang wujud dinegara inilah yang telah dapat mempertahankan jati diri negara ini sebagai negara umat Islam. Sistem pendidikan arus perdana sehingga kini masih belum menjamin keutuhan aqidah dan penghayatan Islam dikalangan penuntut untuk melahirkan masyarakat Islam yang boleh dicontohi,” Tegas Mohd Azmi. – HARAKAHDAILY 28/1/2015

Share on Myspace