MH370: Laporan interim siasatan 7 Mac

| .

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan laporan interim berhubung hasil siasatan berkaitan Penerbangan MH370 pada 7 Mac depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi seperti dipetik Bernama berkata, butiran dalam laporan itu akan diumumkan menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum dimuat naik ke laman web Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Kami akan mengeluarkan laporan interim pada 7 Mac dan kami bersedia dengannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Bengkel Keselamatan Penerbangan Rantau Asia Tenggara di sini, hari ini.

"Laporan interim itu ada kaitan dengan apa yang telah kami peroleh, dapatan daripada siasatan itu," katanya.

Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan dan pencarian pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu.

Memetik laporan Bernama, ditanya sama ada kerajaan akan memuktamadkan status pesawat itu selepas mengeluarkan laporan interim berkenaan, Ab Aziz berkata perkara itu jika ada, akan diumumkan kelak.

"Soal pampasan kepada waris penumpang dan anak kapal juga akan ditentukan selepas status pesawat itu diumumkan," katanya. - HARAKAHDAILY 28/1/2015

Share on Myspace