Sirul tak mahu pulang ke Malaysia

HARAKAHDAILAY | .

KUALA LUMPUR:  Bekas Koperal Sirul Azhar Umar memberitahu peguamnya bahawa dia enggan pulang ke Malaysia selepas  Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya 13 Januari lalu, lapor Sinar Harian.

Demikian dimaklumkan oleh peguamnya Hasnal Rezua Merican ketika dihubungi oleh Sinar Harian di Sydney, Australia.

Walaupun polis Malaysia mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki Sirul namun usaha membawa balik dia ke Malaysia menjadi sukar kerana Australia sebuah negara yang bukan sahaja tidak mengiktiraf hukuman mati malahan juga menentang keras hukuman tersebut dijalankan dalam sistem perundangan negara lain.

Sehingga kini tidak diketahui bagaimanakah perkembangan usaha mengekstradisi Sirul.

Sementara itu, beberapa hari lalu pimpinan PAS iaitu Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad melawat ibu Sirul beliau di kediamannya, dekat Changkat Jering, Bukit Gantang. (Gambar atas)

Dalam pertemuan itu Mahfuz berpendapat bahawa, Sirul seharusnya diberi ruang seluas-luasnya untuk menjelaskan perkara sebenar bagi merungkai segala kekusutan serta persoalan dalam kalangan masyarakat seterusnya mengetahui siapa dalang dan apakah motif sebenar pembunuhan tersebut – pada masa yang sama tidak bermaksud menafikan keputusan mahkamah.

Pastinya kes ini menjadi semakin rumit dan bukan sahaja menimbulkan pelbagai polemik di negara ini, malah sudah menjadi kes antarabangsa apabila membabitkan dua negara yang mempunyai pendirian yang berbeza dari segi undang-undangnya. – HARAKAHDAILY 28/1/2015

Share on Myspace