10 Feb: Tiada sebab PAS keluar Pakatan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Datuk Mustafa Ali menegaskan PAS akan terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari depan menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Malah menurut Setiausaha Agung PAS itu sekiranya mahkamah memutuskan Anwar dipenjarakan tidak ada sebab untuk PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.

"Tidak. Makin kukuh ada sebab kita bertanggungjawab teruskan kerjasama ini," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Tegas Mustafa, kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat akan berjalan seperti biasa walaupun ketiadaan Anwar kerana Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin masih ada bagi melaksanakan tugas parti.

"Anwar tak ada, Kak Wan ada, Azmin ada. Kita kerjasama dengan parti bukan dengan orang. Tak ada tu pun tak ada masalah. Waktu kita tubuhkan Barisan Alternatif dulu pun Anwar di dalam," jelasnya.

Tambahnya, semasa Barisan Alternatif ditubuhkan, Anwar pada ketika itu berada di dalam penjara dan sebarang mesyuarat dipengerusikan oleh Wan Azizah.

"Tapi masih berjalan. Kak Wan pengerusikan mesyuarat dan masa itu arwah Ustaz Fadzil pun ada," katanya lagi.
 
Mustafa berkata demikian bagi menjawab soalan media sama ada PAS akan keluar Pakatan Rakyat sekiranya Anwar dijatuhi hukuman penjara pada 10 Febuari ini.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Februari untuk keputusan rayuan terakhir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lepas. - HARAKAHDAILY 28/1/2015

Share on Myspace