'Anak sulung' mudahkan PAS terus mara di Sarawak

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

PETALING JAYA: PAS yakin akan berjaya melahirkan 'anak sulung' di Sarawak dalam Pillihan Raya Negeri (PRN) yang kemungkinan diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, parti Islam itu yakin akan memperoleh kemenangan sekurang-kurangnya satu kerusi daripada 82 Dun yang dipertandingkan.

Menurutnya, impian tersebut bukan satu perkara mustahil jika jentera memberikan komitmen yang tinggi di samping sumbangan daripada orang ramai dalam menjalankan gerak kerja pilihan raya.

"Saya telah diamanahkan oleh PAS Pusat untuk mengetuai pilihan raya di Sarawak yang akan diadakan kemungkinan pada tahun ini.

"Apa yang difokuskan ialah menumpukan gerak kerja bersama rakan PAS Pusat di samping mencari kawan seramai mungkin," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pilihan Raya Negeri Sarawak yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dekat sini malam tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat; Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid; setiausaha, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan ketua pemuda, Arifiriazul Paijo.

Hadir memeriahkan majlis di samping menghulurkan sumbangan ialah Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzil.

Mohamad menjelaskan, kejayaan PAS memperoleh kemenangan sulung dalam pilihan raya kelak akan menjadi permulaan untuk parti tersebut bertapak di negeri Bumi Kenyalang itu.

"Apabila kita berjaya lahirkan anak sulung di Sarawak, maka kemaraan PAS di negeri itu akan lebih mudah.

"Contohnya di Johor, pada mulanya target utama kita adalah memperoleh kemenangan sulung di negeri itu, selepas itu dua kerusi, seterusnya kejayaan memperoleh empat kerusi pada pilihan raya lalu dan kini kita memikirkan untuk ambil alih tampuk pemerintahan negeri Johor," jelasnya lagi.

Beliau menyatakan, bagi merealisasikan matlamat tersebut PAS perlu bergerak bersama muafakat politik di dalam Pakatan Rakyat agar dapat mewujudkan satu 'team' yang kuat menghadapi musuh utama iaitu BN.

Ujarnya, konflik yang berlaku di dalam parti ketika ini bukan masalah dan halangan untuk memperoleh kejayaan di PRN Sarawak nanti.

"Suami isteri berbaik semula selepas bergaduh, mereka seperti pengantin baru malah lebih romantik daripada mula perkahwinan.

"Pemimpin perlu mencari kaedah dan apabila berjaya mencari jalan penyelesaian maka PAS akan lebih hebat daripada sebelum ini," jelasnya lagi.

Beliau yakin PAS akan menunjukkan kehebatannya dalam PRN Sarawak nanti selepas selesaikan konflik, dan pimpinan serta jentera parti di Semenanjung akan memberikan komitmen tinggi membantu PAS Sarawak mengharungi pilihan raya itu.

Mohamad Sabu sebelum itu telah melancarkan Tabung Dana Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam usaha mengumpulkan sebanyak mungkin dana bagi membiayai gerak kerja pilihan raya negeri itu.

Sebanyak 500 kupon telah berjaya dijual kepada penyumbang daripada seluruh negara termasuklah daripada kalangan pimpinan parti itu sendiri. - HARAKAHDAILY 29/1/2015

Share on Myspace