Ikutlah apa orang nak kata - bapa saudara Sirul

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Bapa saudara kepada Sirul Azhar Umar, Mustaffa Samat tabah berdepan dengan orang sekeliling berikutan tersiarnya gambar anak saudaranya yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Katanya, walaupun pelbagai pandangan serta cemuhan dilemparkan, beliau dan keluarga Sirul tidak mengambil serius tohmahan tersebut.

"Ikutlah apa orang nak kata, saya termasuk ibu kepada Sirul tabah berdepan dengan semua ini.

"Memang ada perbezaan, kawan-kawan baik saya mula menjauhkan diri dari saya tetapi tidak semua ada yang jumpa kerana bersimpati dengan apa yang berlaku," kata beliau.

Mustaffa turut berdepan dengan rakan-rakannya di kampung bagi menjelaskan perasaan beliau terhadap apa yang berlaku.

"Saya jumpa rakan-rakan di kampung dan beritahu mereka, saya dari keluarga pembunuh tentu orang tak mahu berkawan dengan saya.

"Itu hak masing-masing untuk menilainya, yang pasti saya tahu di mana kebenarannya," sambung beliau lagi.

Beliau turut gembira apabila dimaklumkan dengan suasana kehidupan Sirul di Australia sekarang.

Ahad lepas, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bersama Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat turut mengunjungi ibu Sirul, Piah Samat di Changkat Jering, Taiping. - HARAKAHDAILY 29/1/2015

Share on Myspace