Vincent perlu jelaskan motif lukisan 'Kenapamu, Malaysia'

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggesa pelukis Vincent Leong tampil menjelaskan motif sebenar beliau menghasilkan lukisan yang kini menjadi kontroversi.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, Vincent tidak boleh membiarkan rakyat negara ini tertanya-tanya apa tujuan dia menghasilkan lukisan seperti itu.

Ini kerana katanya, ramai di luar sana menyifatkan lukisan itu sebagai satu penghinaan terhadap institusi diraja.

"Saya tidak tahu apa maksud sebenar pelukis. Sekiranya lukisan ini bertujuan untuk menghina bagi saya ianya telah melukai hati rakyat negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan katanya, pihak berkuasa boleh memanggil pelukis berkenaan untuk mendapatkan penjelasan sebenar mengapa lukisan itu dihasilkan.

Suhaizan berkata demikian mengulas laporan media sebuah karya Vincent yang mempamerkan sisi belakang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam satu pameran di Singapura.

Selain itu, potret yang digambarkan sebagai Perdana Menteri juga turut dipamerkan dari sisi belakang.

Lukisan berjudul  'Kenapamu, Malaysia'  berkenaan dipamerkan pada pameran seni Art Stage Singapore 2015 pada 22 hingga 25 Januari 2015 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, Singapura. - HARAKAHDAILY 29/1/2015

Share on Myspace