Nisbah pelajar antarabangsa di Malaysia antara tertinggi

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Malaysia antara negara yang mempunyai nisbah pelajar antarabangsa tertinggi berbanding pelajar tempatan dalam dunia akademik, dengan purata hampir 1:10.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sepanjang satu dekad, negara mengalami pertumbuhan pesat menjadi destinasi pelajar antarabangsa iaitu merekodkan kenaikan tahunan melebihi 16 peratus setahun.

"Ini menunjukkan pendidikan di Malaysia bukan sahaja berpatutan, tetapi juga mudah diakses dan mesra," katanya dalam ucapan pada majlis Konvensyen Pembangunan dan Pemasaran Pendidikan Antarabangsa Malaysia 2015 di sini Khamis.

Idris percaya negara berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran menarik 200,000 pelajar antarabangsa menjelang 2020 selaras dengan impian Malaysia menjadi hab pendidikan antarabangsa dan serantau.

Pada 31 Dis tahun lepas, Malaysia mempunyai 135,502 pelajar antarabangsa dari 160 negara, yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta di sekolah antarabangsa, katanya.

"Ini adalah peningkatan sebanyak 16.5 peratus daripada 2013," katanya.

Daripada jumlah itu, Idris berkata terdapat 74,996 pelajar antarabangsa menuntut di IPT swasta, peningkatan sebanyak 29.9 peratus daripada 2013 manakala 32,842 orang di IPT awam.

"Sebagai bukti kepada kualiti pendidikan lepasan ijazah dan peluang di Malaysia, sebanyak 27,812 pelajar antarabangsa sedang menyambung program lepasan ijazah," katanya.

Sepuluh negara teratas yang menyumbang kepada permohonan baharu pada tahun lepas ialah Bangladesh, Nigeria, China, Indonesia, Pakistan, Yaman, Libya, Sudan, Kazakhstan dan India.

Minat yang semakin meningkat turut direkodkan dari negara seperti Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, kata Idris. - Bernama

Share on Myspace