MH370: Kecewa DCA batal sidang akhbar

| .

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan sidang media khas berhubung pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Memetik laporan secara langsung dari sebuah stesen televisyen, sidang media yang dijadualkan pada 3.30 petang itu yang sepatutnya diadakan di Dewan Serbaguna DCA dibatalkan tanpa sebarang alasan.

Sidang media yang amat dinanti-nanti tersebut sepatutnya disampaikan oleh Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan antara perkara yang dijangka akan disampaikan adalah mengenai situasi terkini misi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

Selain organisasi media dalam dan luar negara, turut hadir pada sidang media tersebut ialah waris terdekat mangsa nahas.

Kehadiran wanita warga China berusia 29 tahun yang merupakan isteri kepada salah seorang mangsa MH370 itu mendapat perhatian pengamal media apabila memegang sekeping gambar yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir ialah Intan Maizura Othman yang merupakan isteri kepada pramugara MH307, Mohd Nazrin Mohamed Hasnan yang hadir bersama anak bongsunya, Muhammad yang berusia lapan bulan.

Sebelum itu, Intan Maizura menerusi akaun Instagramnya menyatakan kesal kerana tidak dimaklumkan tentang pengumuman khas berkaitan perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370.

Rakyat negara ini yang sedang menunggu pengumuman tersebut turut melahirkan kekecewaan apabila sidang media yang ditunggu-tunggu mereka pula dibatalkan saat-saat akhir.

Pihak DCA sudah mengeluarkan notis pengumuman kepada media untuk mengadakan sidang akhbar secara langsung di saluran RTM berhubung MH370.

Seluruh rakyat Malaysia tidak sabar-sabar menunggu untuk mendengar pengumuman oleh DCA berhubung pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Pengumuman itu dibuat sekitar jam 4.05 petang di Dewan Serbaguna DCA di Putrajaya di hadapan ratusan media dan juga beberapa waris keluarga penumpang.

Sementara itu, Bernama melaporkan Azharuddin akan membuat pengumuman mengenai MH370 di RTM1 pada 6 petang ini. - HARAKAHDAILY 29/1/2015

Share on Myspace