Tolak pelan tenaga nuklear tidak demokratik, autoritarian

SM MOHAMED IDRIS | .

PADA forum baru-baru ini yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (ECCC), Majlis Peguam di Kuala Lumpur, orang ramai mendapat gambaran idea rundingan awam daripada penggerak loji tenaga nuklear di Malaysia.

Dalam kehadiran beliau di forum awam tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC), Dr Mohd Zamzam Jaafar, mendedahkan bahawa keperluan untuk perundingan awam akan dipenuhi melalui proses Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Ia perlu dijelaskan bahawa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA), perundingan awam memang diwajibkan untuk projek-projek yang mana EIA Terperinci (DEIA) harus dikemukakan. Dalam hal ini, MNPC sememangnya mengabaikan kehendak rakyat untuk perundingan awam dilakukan mengenai keperluan untuk menggunapakai tenaga nuklear dan MNPC sengaja cuba mengelirukan orang ramai mengenai isu rundingan awam.

Ramai di kalangan rakyat yang prihatin telah menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan tenaga nuklear dan menuntut suatu rundingan awam yang ikhlas diadakan untuk memastikan sama ada Malaysia perlu menggunapakai tenaga nuklear sebagai sumber kuasa dan bukan mengadakan rundingan awam di peringkat apabila keputusan telah diambil untuk memasang loji nuklear.

Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MNPC Dr Zamzam, yang mengejutkan ini sekali lagi mengesahkan syak wasangka Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan sekumpulan rakyat Malaysia mengenai niat kerajaan untuk melaksanakan projek berpuluh billion  ringgit yang membawa pelbagai risiko yang serius tanpa mengambilkira kebimbangan awam.

Forum Sabtu lalu mendedahkan bahawa MNPC iaitu entiti yang diberi mandat oleh kerajaan untuk menerajui projek tersebut tidak berminat memberi ruang untuk penilaian kritikal tentang keperluan menggunapakai tenaga nuklear.

Satu lagi pendedahan dari forum tersebut akan pemikiran penggerak tenaga nuklear ini adalah mengenai pemahaman mereka tentang isu ‘penerimaan orang ramai'. Rupa-rupanya MNPC telah mula memberi justifikasi yang tidak masuk akal dengan menyatakan bahawa rakyat Malaysia, nak atau tidak, terpaksa hidup dengan risiko radiasi kerana kebanyakan negara-negara jiran kita akan menggunapakai tenaga nuklear.

Malah, ia adalah amat jelas bahawa dengan penubuhan MNPC pada bulan Januari 2011 dan kemasukan tenaga nuklear sebagai projek titik masuk yang ke-11 dalam Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan pada tahun 2010, kerajaan sebenarnya ingin memperkenalkan tenaga nuklear dalam campuran tenaga negara.

Pada  awal bulan Ogos 2014, kerajaan mengumumkan niatnya untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalseliaan Tenaga Atom. Dr Zamzam berkata MNPC berharap rang undang-undang tersebut diluluskan oleh Parlimen pada tahun ini.

Kami menegaskan sekali lagi mengulangi bahawa, tidak jujur dalam pihak kerajaan untuk terus memberikan gambaran palsu kepada orang ramai dengan balasan lazimnya respons standard bahawa keputusan belum dibuat dan kerajaan masih mempertimbangkan penggunaan memikirkan pilihan untuk tenaga nuklear.

Pada forum tersebut, ECCC Majlis Peguam membuat kesimpulan bahawa pendekatan kerajaan selama ini adalah tidak betul dan menggesa kerajaan untuk menghentikan proses tersebut sehinggalah selesai perundingan dan penilaian awam yang tulen. Kami menyokong cadangan Majlis Peguam tersebut.

Sekali lagi, kami mencabar kerajaan untuk mengakui bahawa keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear sebenarnya telah dibuat.

Tanpa perundingan awam yang tulen dalam menggunapakai tenaga nuklear, CAP menggesa rakyat Malaysia untuk menolak Rancangan Pembangunan Infrastruktur Tenaga Nuklear Malaysia (Malaysian Nuclear Power Infrastructure Development Plan) yang akan disiapkan tidak lama lagi kerana ianya rancangan yang tidak demokratik dan autoritarian.

Penulis ialah Presiden CAP.

Share on Myspace