Kanak-kanak mati jatuh PPR, kerja baik pulih segera

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengucapkan takziah kepada Puan Norsahura Sahara Mohamad di atas kehilangan anak beliau, Adik Muhammad Hazriq Danish Ain Alden yang telah kembali ke rahmatullah setelah terjatuh dari tingkat 6, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara petang semalam.

"Saya telah menziarahi beliau pagi tadi dan dapat merasakan kesedihan yang dilalui oleh beliau sekeluarga," ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan.

Kerajaan negeri, katanya memandang serius kejadian semalam dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) akan melaksanakan kerja-kerja membaikpulih dengan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Jelasnya, PHSSB adalah syarikat milik Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Ia telah mengambil alih penyelenggaraan PPR itu dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 2013.

Beliau berkata, untuk Belanjawan 2015, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan untuk membaikpulih PPR tersebut oleh kerajaan negeri.

Katanya lagi, kerja-kerja yang disenaraikan adalah membaikpulih lif, paip air dan ‘railings’ di balkoni dan tangga yang akan dimulakan secepat mungkin.

Beliau menambah, untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin, LPHS akan juga menjalankan pemeriksaan ke atas semua PPR di Selangor dalam masa yang terdekat.

Sebelum ini, ujar beliau dalam tahun 2012 sebanyak 12 buah lif dan 8 buah pam air telah dibaikpulih atau diganti dengan kos lebih RM1.16 juta di PPR Kota Damansara.

Tambahnya, sementara untuk PPR Putra Damai, Lembah Subang sebanyak 17 lif dan 16 pam air telah dibaikpulih atau diganti dalam tahun tersebut dengan kos lebih RM1.9 juta. - HARAKAHDAILY 29/1/2015

Share on Myspace