Kronologi Operasi SAR MH370

MOHD RAZMAN ABDULLAH | .

KUALA LUMPUR: Berikut ialah kronologi operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 selepas hampir 11 bulan terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 2.40 pagi, 8 Mac 2014.

Pesawat itu hilang di 120 batu nautika dari timur Kota Kinabalu di Laut China Selatan, dan tiada sebarang isyarat kecemasan diterima daripada pesawat B777-200 itu, yang membawa 239 orang.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Para penumpang terdiri daripada 38 warganegara Malaysia, China (153), Indonesia (tujuh), Australia (tujuh), Perancis (tiga), Amerika Syarikat (tiga), New Zealand (dua), Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia (seorang), Itali (seorang), Taiwan (seorang), Belanda (seorang), dan Austria (seorang).

Susulan kejadian itu, Malaysia melancarkan operasi SAR antarabangsa dan sehingga hari ini, pencarian pesawat itu masih dijalankan.

Berikut ialah urutan peristiwa operasi SAR MH370:

* 8 Mac (Hari 1) - Operasi SAR bagi mencari pesawat MH370 dilancarkan pada 5.30 pagi, yang melibatkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk empat Hercules C130, sebuah CN235, empat EC725 dan dua helikopter Augusta, serta sembilan kapal terdiri daripada enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Laut China Selatan.

* 9 Mac (Hari 2) - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan carian diperluaskan dari Laut China Selatan ke Selat Melaka.

- Beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat mengerahkan anggota dan aset mereka untuk membantu carian itu.

- Radar TUDM merekodkan pesawat MH370 (dan disahkan kemudian) menuju ke arah pantai barat Semenanjung Malaysia melalui Selat Melaka sebelum ia hilang 200 batu nautika dari barat laut Pulau Pinang pada 2.15 pagi.

* 10 Mac (Hari 3) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi SAR MH370.

- APMM menerima keputusan ujian tumpahan minyak yang dikesan di luar pantai Vietnam. Ia menunjukkan keputusan negatif untuk bahan api pesawat. Minyak itu digunakan sebagai bahan api kapal kargo.

* 12 Mac (Hari 5) - Menteri Pengangkutan dan Pemangku Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan beberapa isu: kemungkinan MH370 terbang melepasi Selat Melaka, kerjasama pakar-pakar penerbangan antarabangsa dan manifes Penerbangan MH370.

* 14 Mac (Hari 7) - carian antarabangsa diperluaskan ke arah barat Lautan Hindi.

- USS Kid milik Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tiba di seksyen barat laut Selat Melaka untuk membantu usaha carian.

* 15 Mac (Hari 8) - Perdana Menteri Malaysia berkata komunikasi terakhir pesawat MH370 dengan satelit kemungkinan berlaku di satu daripada dua koridor iaitu koridor utara meliputi kawasan utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan atau koridor selatan merangkumi Indonesia ke selatan Lautan Hindi

- Najib berkata pesawat itu diterbangkan selama berjam-jam secara 'perlahan yang konsisten' selepas ia hilang daripada radar utama.

- Najib berkata misi SAR memasuki fasa baharu di koridor utara dan koridor selatan. Australia dan Indonesia menegetuai carian di kawasan masing-masing. Sejumlah 26 negara terlibat dalam operasi carian itu.

- Najib berkata operasi SAR ditamatkan di Laut China Selatan.

* 16 Mac (Hari 9) - Hishammuddin berkata pegawai-pegawai Malaysia saling berhubung dengan 15 negara di sepanjang koridor utara dan koridor selatan untuk mendapatkan bantuan berhubung pesawat MH370.

* 17 Mac (Hari 10) - Hishammuddin berkata operasi multinasional SAR melibatkan 26 negara bermula di koridor utara dan koridor selatan.

* 18 Mac (Hari 11) - Hishammuddin berkata kawasan operasi SAR di koridor utara dan koridor selatan adalah sejumlah 2.24 juta batu nautika persegi.

- Beliau berkata operasi carian memberi tumpuan kepada empat tugasan; mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit; analisis data radar pengawasan; meningkatkan aset udara dan darat selain menambah pakar teknikal dan pakar bidang berkaitan.

- Tiga juta orang menyertai satu daripada usaha penyumberan terbesar yang diketuai oleh pengendali satelit, DigitalGlobe, untuk mencari di kawasan SAR MH370 seluas 24,000 kilometer, dengan lebih banyak imej diberikan setiap hari termasuk kawasan di Lautan Hindi.

* 19 Mac (Hari 12) - Hishammuddin menolak laporan yang mendakwa pesawat MH370 dilihat terbang rendah di Maldives.

* 20 Mac (Hari 13) - Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Najib pada 10 pagi untuk memberitahu objek yang mungkin berkaitan dengan MH370, dikesan di selatan Lautan Hindi, yang terletak kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth.

- Hishammuddin berkata operasi SAR diteruskan walaupun dengan penemuan objek oleh Australia, sehingga pengesahan lanjut dibuat.

* 21 Mac (14 Hari) - Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dilihat di selatan Lautan Hindi pada Khamis berkaitan dengan penerbangan MH370.

* 22 Mac (Hari 15) - Hishammuddin berkata tiada objek dikesan seperti yang dikenal pasti pihak berkuasa Australia di kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.

* 23 Mac (Hari 16) - Hishammuddin berkata Malaysia menyampaikan cerapan imej baharu satelit daripada pihak berkuasa Perancis kepada pusat penyelarasan carian Australia.

* 26 Mac (Hari 19) - Najib berkata Malaysia dan China akan terus bekerjasama rapat dalam carian MH370.

- Hishammuddin berkata imej baharu satelit mengesan 122 objek berpotensi yang mungkin berkaitan dengan pesawat MH370 di kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Australia.

* 27 Mac (Hari 20) - Hishammuddin berkata Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan ke Perth, Australia yang merangkumi DCA (Jabatan Penerbangan Awam), MAS, TLDM dan TUDM.

- Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata 11 pesawat dan lima kapal pasukan carian multinasional ditugaskan mencari pesawat Boeing 777-200ER di selatan Lautan Hindi.

- Carian dibahagikan kepada dua kawasan dalam jarak sama meliputi 78,000 kilometer persegi.

* 28 Mac (Hari 21) - AMSA berkata kawasan carian MH370 beralih kepada lokasi 1,100 kilometer ke timur laut berdasarkan nasihat terkini oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.

- Kawasan carian baharu adalah kira-kira 319,000 kilometer persegi dan sekitar 1,850 kilometer di barat Perth.

- Amerika Syarikat menghantar pesawat kedua P-8 Poseidon Patrol dari Armada Ketujuh ke Perth, Australia untuk membantu usaha carian.

* 31 Mac (Hari 24) - Pihak berkuasa mempunyai kira-kira seminggu untuk mencari bukti fizikal terutamanya kotak hitam MH370 kerana isyarat yang dipancarkan daripada kotak hitam bergantung kepada kuasa bateri yang hayatnya berakhir selepas 30 hari.

Operasi carian multinasional telah mengenal pasti kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth, Australia, sebagai kawasan kemungkinan pesawat itu berakhir.

- Hishammuddin berkata 10 termasuk satu pesawat awam dan 10 kapal meninjau kawasan carian untuk mencari serpihan yang mungkin berkaitan dengan MH370.

* 1 April (Hari 25) - AMSA berkata 10 pesawat dan sembilan kapal sedang mencari MH370 dengan kawasan carian meliputi kira-kira 120,000 kilometer persegi.

- Kerajaan Australia melancarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) untuk menyelaraskan carian MH370.

* 2 April (Hari 26) - AMSA berkata 10 pesawat dan sembilan kapal mencari MH370 di kawasan seluas 221,000 kilometer persegi.

* 3 April (Hari 27) - Najib tiba di Perth, Australia untuk melihat sendiri operasi carian MH370 dan mengadakan pertemuan dengan Abbott.

- JACC berkata kawasan carian meliputi kira-kira 223,000 kilometer persegi iaitu kira-kira 1,680 kilometer barat-utara-barat Perth, Australia dengan melibatkan lapan pesawat dan sembilan kapal.

* 4 April (Hari 28) - JACC berkata carian MH370 memasuki fasa baharu dengan pendekatan operasi dasar laut di selatan Lautan Hindi untuk mengesan 'pinger' kotak hitam.

* 5 April (Hari 29) - JACC berkata pengesan kotak hitam yang digunakan oleh kapal peronda Haixun 01 milik China mengesan dua isyarat detik di selatan Lautan Hindi.

* 6 April (Hari 30) - JACC berkata isyarat detik lain dikesan di selatan Lautan Hindi oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV), Ocean Shield, kira-kira 300 batu nautika dari isyarat detik dikesan Haixun 01.

* 7 April (Hari 31) - JACC berkata Ocean Shield mengesan dua isyarat detik, dengan pengesanan pertama direkodkan selama dua jam dan 20 minit manakala yang kedua selama 13 minit.

* 9 April (Hari 33) - pakar-pakar Amerika dan Australia mengesahkan bahawa isyarat detik yang dikesan oleh kapal mencari MH370 di selatan Lautan Hindi adalah daripada peranti buatan manusia dan bukannya bunyian semula jadi dari laut, berdasarkan kadar frekuensinya.

* 10 April (Hari 34) - JACC berkata pesawat Australia mengesan satu kemungkinan isyarat semasa mengendalikan carian akustik di selatan Lautan Hindi.

* 11 April (Hari 35) - JACC mengesahkan bahawa isyarat yang dikesan oleh sebuah pesawat AP-3C Orion Australia sehari sebelum itu di kawasan carian Lautan Hindi tidak berkaitan dengan pesawat pengesan dasar laut Beacon.

* 12 April (Hari 36) - JACC berkata Ocean Shield menumpukan cariannya dengan pengesan lokasi pinger untuk mencuba dan mencari isyarat berkaitan dengan kotak hitam.

* 13 April (Hari 37) - Ocean Shield mengesan tumpahan minyak di selatan Lautan Hindi, kata JACC.

* 14 April (Hari 38) - Kenderaan dasar laut autonomous (AUV) Bluefin-21 digunakan dalam operasi carian pesawat MH370.

* 15 April (Hari 39) - Data yang dikumpul kira-kira enam jam oleh Bluefin-21 diambil dan dianalisis.

* 16 April (Hari 40) - Tiada objek yang mempunyai kepentingan ditemui daripada data yang dikumpul Bluefin-21 dalam misi pertamanya pada 14 April bagi membantu mengesan bangkai pesawat MH370, kata JACC.

* 17 April (Hari 41) - Tompokan minyak yang dikesan Ocean Shield didapati bukan cecair enjin atau hidrolik atau pesawat, kata JACC.

* 21 April (Hari 45) - Carian visual disambung dengan pesawat dan kapal digerakkan semula ke selatan Lautan Hindi manakala Bluefin-21 meneruskan misinya.

* 22 April (Hari 46) - Carian udara diteruskan meskipun Taufan Tropika Jack melanda selatan Lautan Hindi.

* 23 April (Hari 47) - JACC berkata bahan yang tidak dikenali terdampar 10 kilometer di timur Augusta, 322 kilometer selatan Perth.

- Carian udara dihentikan sementara kerana cuaca buruk.

* 24 April (Hari 48) - Bahan terdampar di pantai Augusta disahkan bukan daripada Penerbangan MH370.

* 26 April (Hari 50) - Bluefin-21 menghadapi isu teknikal - JACC.

* 28 April (Hari 52) - Operasi carian bersedia memasuki fasa baharu dengan lebih tumpuan akan diberikan kepada kawasan dasar laut lebih besar - JACC.

* 29 April (Hari 53) - Terdapat dakwaan bangkai pesawat MH370 ditemui di Teluk Benggala, Bangladesh.

* 2 Mei (Hari 56) - Hishammuddin mengumumkan Malaysia, China dan Australia akan mengadakan mesyuarat tiga hala di Canberra pada 5 Mei.

- JACC mengesahkan tiada apa-apa ditemui di Teluk Benggala.

* 5 Mei (Hari 59) - Carian memasuki fasa baharu dengan operasi dipergiat di dasar laut selatan Lautan Hindi.

* 15 Mei (Hari 69) - SAR utamakan carian di dasar laut, syarikat-syarikat Malaysia menawarkan aset-aset untuk membantu operasi carian itu.

* 17 Mei (Hari 71) - Kapal China akan mengendalikan kajian Bathymetric.

* 29 Mei (Hari 83) - Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) merumuskan kawasan pengesanan isyarat sebagai tempat berakhirnya MH370.

* 9 Jun (Hari 94) - Malaysia telah membelanjakan RM27.6 juta pada fasa pertama SAR.

* 26 Jun (Hari 111) - Carian beralih jauh ke selatan Lautan Hindi, dan kemungkinan besar M370 dikemudi secara pandu auto sebelum ia hilang - JACC.

* 31 Julai (Hari 146) - JACC berkata kajian Bathymetric oleh Zhu Kezhen dan Fugro Equator di sepanjang lengkungan ketujuh di selatan Lautan Hindi berjalan dengan baik.

* 4 Ogos (Hari 150) - KD Mutiara TLDM, kapal hidrografi menyertai carian operasi SAR.

- Petronas membiayai sebanyak RM67 juta untuk penempatan peralatan dasar laut dan kapal sokongan untuk carian MH370.

* 6 Ogos (Hari 152) - Firma Belanda Fugro Survey Pte Ltd akan menerajui carian laut dalam MH370.

* 20 Ogos (Hari 166) - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menghantar delegasinya ke Canberra, Australia minggu depan untuk membincangkan fasa seterusnya bagi carian MH370 selain meninjau isu perkongsian kos antara Australia dan Malaysia.

* 24 Ogos (Hari 170) - Hishammuddin berkata negara-negara yang mengambil bahagian dalam carian pesawat MH370, tidak memfailkan apa-apa tuntutan dengan Malaysia setakat ini.

* 28 Ogos (Hari 174) - Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Australia bagi menyediakan rangka kerja dan kerjasama lebih luas dalam carian MH370.

* 6 Sept (Hari 182) - Abbott berkata Malaysia dan Australia masing-masing komited untuk menyumbang AUD60 juta (RM180 juta) dalam usaha mencari pesawat MH370 dalam fasa baharu carian dasar laut.

* 19 Sept (Hari 195) - Hishammuddin berkata syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, bersama-sama dengan Deftech dan konsortium Phoenix International akan menghantar sebuah Kapal Induk GO Phoenix dan Pro Synthetic Aperture Sonar atau ProSAS, yang akan ditunda untuk menyertai carian.

* 8 Okt (Hari 214) - Berdasarkan analisis terkini yang dijalankan oleh pasukan dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia, carian dasar laut bagi pesawat MH370 kini ditumpukan ke kawasan lebih jauh ke selatan di lengkungan ketujuh Lautan Hindi.

- Menurut laporan, lokasi baharu carian itu adalah hasil daripada pengemaskinian data dan maklumat komunikasi satelit daripada panggilan telefon darat ke udara selama 17 minit yang tidak berjawab, selepas maklumat radar terakhir, kata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

* 21 Okt (Hari 227) - Kapal sewaan Malaysia, GO Phoenix, dalam keadaan baik untuk siasatan dasar laut penerbangan MH370, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

- Go Pheonix akan menyertai operasi kapal sewaan Malaysia-Australia, Fugro Discovery dan Fugro Equator.

* 22 Okt (Hari 228) - Hishammuddin berkata Malaysia optimis dengan usaha carian MH370 berdasarkan penggunaan peralatan canggih terkini.

* 27 Okt (233 hari) - Indonesia belum mengesahkan serpihan ditemui di perairannya milik penerbangan MH370, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Ruhaizah Mohamed Rashid.

* 5 Nov (242 hari) - JACC berkata carian sudah dijalankan di kawasan lebih 3,000 kilometer persegi di lengkungan selatan Lautan Hindi, yang bertujuan mengenal pasti sebarang bukti penting seperti bangkai pesawat dan perakam penerbangan untuk membantu siasatan Malaysia.

* 13 Nov (Hari 250) - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini, kerajaan telah memperuntukkan RM33,461,861.50 untuk menanggung kos operasi mencari dan menyelamat penerbangan MH370 dan Penerbangan MH17 dengan 3,732 penjawat awam terlibat dalam operasi itu.

* 17 Dis (Hari 283) - JACC berkata kapal Fugro Equator telah melengkapkan kajian bathymetric di seluas 208,000 kilometer persegi kawasan carian di Lautan Hindi.

* 7 Jan (Hari 304) - Carian dasar laut sudah dilakukan di kawasan seluas 14,000 kilometer persegi, kata JACC dan menambah kawasan carian dasar laut semasa mungkin dapat diselesaikan pada Mei 2015.

* 29 Jan (Hari 326) - Ketua Pengarah DCA Malaysia Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan Penerbangan MH370 yang hilang diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban. - Bernama

Share on Myspace