Pesawat yang dilapor hilang seluruh dunia

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 tanpa sebarang kesan atau isyarat kecemasan pada 8 Mac tahun lepas telah mengejutkan dunia.

Dengan peralatan canggih penerbangan pada abad ke-21 dan sistem pemantauan satelit, kehilangan MH370 membingungkan saintis dan pakar bagaimana pesawat moden sepanjang 63.7 meter itu boleh lenyap.

Satu-satunya data yang pihak berkuasa gunakan dalam pencarian pesawat itu ialah tujuh komunikasi automatik 'handshakes' antara pesawat dan stesen bumi yang membawa mereka ke kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, iaitu kedudukan penerbangan terakhir pesawat itu dipercayai berakhir.

Boeing 777-200 itu yang hilang ketika dalam penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal, bukanlah kapalterbang pertama yang hilang dalam sejarah pengangkutan udara kerana terdapat beberapa pesawat dilaporkan hilang di seluruh dunia.

Berikut beberapa kes kehilangan pesawat:

(sumber: Time Magazine, Forbes Magazine dan Wikipedia)

* 1937 - juruterbang wanita Amerika Syarikat yang pertama, Amelia Mary Earhart hilang dalam misi penerbangan solo merentasi Lautan Atlantik menggunakan pesawat enjin berkembar Electra. Tiada kesan pesawatnya ditemui sehingga sekarang.

* 2 Ogos, 1947 - Pesawat British South American Airways (BSAA) Star Dust yang membawa lima anak kapal dan enam penumpang merempuh Gunung Tupungato, terletak di banjaran Andes, Argentina semasa dalam penerbangan dari Buenos Aires ke Santiago, Chile.

- Usaha mencari tidak menemui sebarang kesan pesawat itu dan penumpang.

- Lebih 50 tahun kemudian, sepasang pendaki warga Argentina menemui bangkai enjin di Andes pada 1998 yang dikaitkan dengan pesawat itu dan kemudian ekspedisi tentera menemui rangka manusia.

* 30 Januari 1948 - Pesawat BSAA Star Tiger hilang di Lautan Atlantik di Segi Tiga Bermuda ketika dalam penerbangan ke Havana, Latin Amerika dari London.

- Ia hilang bersama enam anak kapal dan 26 penumpang.

* 17 Januari 1949 - Pesawat BSAA Star Ariel Avro Tudor IV yang dalam penerbangan dari Bermuda ke Kingston, Jamaica, membawa 20 penumpang dan anak kapal hilang tanpa dapat dikesan di Segi Tiga Bermuda.

- Kehilangan Star Tiger dan Star Ariel telah menimbulkan spekulasi tentang legenda Segi Tiga Bermuda.

* 30 Januari 1979 - Sebuah pesawat kargo Varig Brazilian Airlines, Boeing 707-323c terputus hubungan selepas setengah jam berlepas, kira-kira 200 kilometer ke timur Jepun dan membawa enam anak kapal dan kargo yang berharga.

- Pesawat dan anak kapal gagal ditemui. - Bernama

Share on Myspace