1MDB: Di mana Bank Negara, apa PAC buat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Usah menanti keadaan menjadi begitu parah barulah kelam kabut mencari penawar berhubung hutang 1MDB, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Ini, ujarnya kerana sehingga ke hari ini, pihak Bank Negara Malaysia, Maybank dan RHB masih belum membuat sebarang penafian terhadap dakwaan kegagalan 1MDB membayar hutang sebanyak RM2 billion.

Ini, kata beliau bermakna kali ketiga 1MDB meminta 'extension' bayaran hutangnya kepada Maybank dan RHB.

Malah, menurutnya hutang RM2 billion itu sepatutnya dilunaskan pada tahun 2013 dan diberi kelonggaran sehingga 2014.

"Di mana yang dikatakan pelaburan 1MDB di Cayman Island sudah dibawa pulang?

"Jikalau benar sudah berjaya dibawa pulang, mengapa tidak digunakan untuk membayar hutang tersebut?" tanya Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kata beliau yang menanggung beban hutang itu adalah Maybank dan RHB.

Menurut beliau lagi, pemegang saham utama dalam Maybank adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB) manakala RHB pula adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Maka yang menanggung 'biawak hidup' ini akhirnya rakyat Malaysia juga!" ujarnya lagi.

Justeru, Mahfuz mempersoalkan adakah Bank Negara hanya akan berpeluk tubuh sahaja dalam hal itu atau adakah 1MDB diberikan hak istimewa berbanding pihak lain.

Beliau menambah, 1MDB ini akan menjejaskan bukan sahaja sistem perbankan negara, malah prestasi sistem kewangan dan ekonomi negara akan turut tercemar.

Bayangkanlah, katanya selepas ini agensia-agensi rating antarabangsa seperti Fitch, Standard and Poor dan Moody menurunkan kadar rating negara.

Justeru, ujarnya PAS dengan tegas mendesak agar Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak turut berpeluk tubuh juga di dalam hal ini.

"Alangkah eloknya jika Pengerusi PAC berani menunjukkan kepada rakyat bahawa PAC masih mempunyai kewibawaan dengan mengheret 1MDB ini untuk memberi penjelasan di hadapan PAC agar segala kekusutan dan kontroversi yang berlaku itu dapat dirungkaikan segera.

"Usah menanti keadaan menjadi begitu parah kelak barulah kelam kabut mencari penawarnya," katanya. - HARAKAHDAILY 30/1/2015

Share on Myspace