Adun mahu janji kepada nelayan disegerakan

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Adun Beserah, Andansura Rabu mendesak pihak bertanggungjawab yang telah berjanji untuk membaik pulih tebing, mendalam dan melebarkan muara sungai di Kampung Sungai Ular dekat sini, supaya segera melaksanakannya.

Katanya, ini sangat penting kerana 120 orang di kampung berkenaan menghadapi risiko tergadai nyawa ketika keluar dan masuk melalui muara sungai berikutan ia semakin cetek sekali gus menjejaskan hasil tangkapan mereka.

Menurutnya, sedangkan mereka merupakan nelayan sepenuh masa yang mencari rezeki di sungai berkenaan dan pada masa ini mereka terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Isu ini telah dibangkitkan ke peringkat Kerajaan Pusat sejak lima tahun dulu namun tindakan untuk mengatasinya amat mendukacitakan sehingga keadaan jadi semakin kritikal apabila bot-bot nelayan tidak dapat keluar masuk ketika air surut.

“Ini memaksa mereka melabuhkan bot-bot mereka di tengah laut untuk pulang dan mengharung air ketika surut menjadikan mereka terdedah kepada risiko besar seperti lemas dan sebagainya.

“Ini bermakna nelayan terpaksa bergantung pada air pasang dan surut baharu boleh keluar atau masuk, jadi mereka tidak ada pilihan untuk keluar mencari rezeki setiap hari sehingga menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Andansura yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang berkata demikian ketika bertemu nelayan-nelayan Kampung Sungai Ular yang merupakan nelayan pesisir pantai.

“Saya cadangkan pihak berkuasa juga membuat kajian kaedah terbaik dan ekonomik sama ada mendalamkan muara sungai atau membina pemecah ombak bagi mengatasi masalah ini kerana kesan kepada persekitaran juga perlu diambil kira dalam semua kaedah yang dipilih,” katanya. - HARAKAHDAILY 30/1/2015

 

Share on Myspace