Selangor kaji naikkan elaun guru Kafa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor dijangka akan dinaikkan lagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kajian berhubung perkara berkenaan sudah siap dan akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Kita akan melihat beberapa justifikasi yang akan dipertimbangkan untuk dibentangkan dalam bentuk cadangan dalam MMKN seminggu dua lagi.

“Buat masa ini, kita memberi tumpuan bagaimana dapat memberi lebih faedah kepada guru Kafa ini,” katanya dipetik Selangor Kini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian penutup Majlis Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor 2015 di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), semalam.

Sebelum ini, gaji guru Kafa dinaikkan dari RM738.30 kepada RM1,000 dan elaun penyelia Kafa, dari RM1,112 kepada RM1,500.

Kerajaan negeri sekali lagi mengumumkan kenaikan gaji guru Kafa dari RM1,000 kepada RM1,300 dengan meluluskan tambahan elaun RM300.

Share on Myspace