Pakatan mampu tangani kemelut ekonomi Perak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pembangunan di Perak adalah agak lembab jika dibandingkan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Katanya, walaupun Perak pernah mendahului semua negeri lain suatu ketika dahulu, tetapi kini zaman kegemilangan ekonominya hanyalah sekadar ingatan dalam catatan sejarah.

"Sejak berpuluh-puluh tahun yang lepas, ekonomi negeri adalah mundur dan tidak berdaya saing dengan negeri-negeri lain, satu daripada puncanya ialah pentadbiran yang boros dan rasuah serta pengurusan yang lemah," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya hari ini, Perak bukan lagi terkenal sebagai pengeluar utama dalam apa jua sektor ekonomi.

Katanya lagi, kalau diimbas kembali, Perak pernah menjadi pengeluar bijih timah, getah dan kelapa sawit yang utama di Semenajung Malaysia.

Kini, ujarnya hasil ekonomi negeri bukan sahaja tidak mantap malah pembangunannya juga adalah agak terbantut kebelakangan ini.

Menurutnya, dalam Rancangan Malaysia Ke-9, Perak telah menerima RM9.21 bilion untuk projek pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan yang merupakan 4.0% daripada jumlah peruntukan yang disediakan untuk seluruh negara.

Manakala, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 jumlah peruntukan untuk Negeri Perak telah dikurangkan kepada RM5.47 bilion iaitu 2.87% daripada jumlah peruntukan RM190.7 bilion untuk seluruh negara.

Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan telah dikurangkan sebanyak RM3.74 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-10 berbanding ke-9 bagi Perak.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri berkata, pengurangan peruntukan itu juga telah melemahkan lagi pembangunan di Negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

"Kita tidak dapat melihat pembangunan fizikal yang nyata dan yang boleh dibanggakan. Kita akan memasuki alam baru di bawah Rancangan Malaysia ke-11 pada tahun ini," ujarnya.

Beliau tidak yakin kerajaan Perak yang ada pada hari ini mampu membawa negeri ke mercu kejayaan.

Malah, beliau amat bimbang keadaan ekonomi negeri ini akan menjadi lebih buruk dengan kegawatan ekonomi yang sedang dialami.

"Rakyat harus membuat keputusan yang bijak seperti pengundi-pengundi Selangor dan Pulau Pinang untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang mentadbir secara hemat dan berintegriti," ujarnya lagi.

Justeru, beliau percaya Kerajaan Pakatan Rakyat sahajalah yang boleh menangani ekonomi Perak dengan lebih baik dengan memberi tumpuan dan keutamaan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri. - HARAKAHDAILY 30/1/2015

Share on Myspace