Bisnes 'ali baba' punca negara rugi - MTEM

| .


KUALA LUMPUR: Pembongkaran bisnes ala ali baba yang melibatkan 13 daripada 19 premis perniagaan di Jalan Silang memberikan perspektif baru terhadap status sebenar hampir 6 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata, perbuatan menyalahgunakan peruntukan yang dikhususkan kepada warganegara terutamanya kaum Bumiputera dengan tujuan untuk meraih manfaat ekonomi wajar dikategorikan sebagai perbuatan jenayah yang mesti dihukum.

Pengarah Eksekutifnya, Nizam Mahshar menyifatkan perbuatan ini sebagai kerugian besar yang terpaksa ditanggung kerajaan dan rakyat Malaysia.

Pendatang asing pula bebas membawa keuntungan ke negara asal mereka, manakala Baba yang sudah kaya akan menjadi lebih kaya dan berkuasa.

"Hasrat untuk membantu menaik taraf kualiti hidup dan ekonomi kaum Bumiputera yang berpendapatan rendah seringkali dicemuh, sedangkan kumpulan sasaran ini tidak pernah dapat memaksimumkan hasil daripada keistimewaan yang diberikan," katanya.

Menurut beliau, jika dikaji, masalah sebenar berpunca daripada kerakusan para pendukung Ali Baba yang tidak lagi berminat untuk berniaga produk atau perkhidmatan tetapi lebih seronok menjual projek dan peluang perniagaan.

Akibatnya, berlaku penyalahgunaan kuasa di peringkat pegawai kerajaan yang mahu memastikan syarikat pilihan mendapat tawaran, berlaku rasuah apabila pegawai dijanjikan imbuhan, berlaku tenderpreneurism apabila ada usaha melobi diperingkat tinggi tanpa perlu melalui proses saringan yang betul.

"Perbuatan ini juga menyebabkan berlaku monopoli apabila syarikat yang sudah bertapak di sesebuah agensi tidak mahu berganjak, bahkan mencari berbagai helah untuk terus layak membida di agensi yang sama seperti melantik syarikat atau pengarah sebagai proksi, menipu bebanan kerja semasa dan prestasi kerja lampau, menggaji pengarah Bumiputera untuk mendapat kelayakan sebagai kontrak Bumiputera serta lain-lain lagi," katanya.

Justeru tegas beliau, tindakan segera kementerian bertanggungjawab untuk memperketatkan Akta Penubuhan Syarikat 1966 bagi membendung Kambing Hitam atau Ali Baba amat dinantikan.

Namun demikian katanya, akta-akta lain yang berkaitan juga harus diperhalusi agar amalan-amalan tidak beretika seperti monopoli, kronisme, nepotisme, tenderpreneurisme dapat dihapuskan dengan serta-merta, tanpa mengabaikan hak dan kepentingan pribumi.

"Antaranya ialah Akta SPRM, Akta Pencegahan Rasuah, Akta Kesalahan Pilihanraya, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, Saman dan Waran, Akta Rahsia Rasmi, Akta Perlindungan Saksi dan Pemberi Maklumat, Akta Persaingan dan sebagainya," katanya lagi.

Tambah beliau lagi, perhatian juga perlu diberi agar penjenayah sebenar dapat diheret ke muka pengadilan berikutan bertambahnya kerunsingan orang ramai tentang keupayaan dan ketelusan pihak berkuasa dalam memerangi jenayah rasuah dan sabotaj ekonomi berprofil tinggi.

"Dengan taksiran kerugian akibat rasuah dan sabotaj ekonomi mencecah lebih RM3.3 billion ringgit setiap tahun, kerajaan melalui agensi yang terlibat perlu menggembeling tenaga memastikan ketirisan ini dapat dibendung.

"Dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia, penurunan harga minyak mendadak, pasca-banjir serta tragedi-tragedi bersangkutan yang melibatkan Malaysia, kita tidak mampu lagi membiarkan penjenayah dan pengkhianat ekonomi ini terus bebas bermaharajalela," katanya.

Beliau berkata, data-data berkaitan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat sabotaj ekonomi dan sebagainya amat penting bagi memastikan pelan ekonomi seperti Rancangan Malaysia ke-11 yang lebih tersusun dan inklusif dapat dilaksanakan dan sebarang kkta yang mahu dikuatkuasakan benar-benar ampuh dan berkesan.

"Realitinya sehingga hari ini masih belum ada kajian yang lebih terperinci tentang jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat sabotaj ekonomi, bilangan sebenar kontraktor tulen berbanding kontraktor Ali Baba.

"Apakah impaknya kepada peluang pekerjaan, kualiti barangan serta perkhidmatan yang diterima kerajaan, kerugian akibat rasuah dan penyelewengan, kesan terhadap hubungan antara kaum, kajian persepsi institusi kewangan dan sumber manusia.

"Impak terhadap polisi kerajaan sedia ada dan akan datang, peningkatan kos sara hidup, tabungan, percukaian, keberkesanan sistem perolehan sedia ada, statistik usahawan Bumiputera yang bakal terjejas, penilaian semula status Bumiputera serta pelbagai lagi kesan langsung atau tidak langsung rentetan membiarkan jenayah Ali Baba ini berterusan," katanya.

MTEM juga menggesa agar usahawan Melayu berusaha untuk membuang imej ‘usahawan keparat’ yang hanya mahukan keuntungan ekspres, sehingga sanggup bertuankan Baba dan pendatang asing serta menggadai keistimewaan yang telah diwarisi daripada nenek-moyang mereka. - HARAKAHDAILY 30/1/2015

Share on Myspace