Fitnah Najib: Nizar tetap mengaku tidak bersalah

| .

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin sekali lagi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiga tahun lalu.

"Yang Arif, saya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan diharap dapat dibicara seawal mungkin," kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu kepada hakim.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana dituduh melakukan fitnah jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Norhayati Mat menetapkan 6 Mac 2015 untuk sebutan kes tersebut dan Mohammad Nizar dibebaskan dengan ikat jamin.

Sebelum itu, Ketua Unit Pendakwaan (KUP), Yusaini Amer Abdul Karim menawarkan ikat jamin RM5,000 namun peguam Mohammad Nizar, Hatim Musa bersama Mohd Fitri Asmuni merayu agar hanya diberikan jaminan mulut sahaja.

Hal ini kerana yang disaman itu iaitu Mohammad Nizar adalah bekas menteri besar dan beliau telah memberikan komitmen tinggi dalam kes ini.

"Beliau adalah bekas menteri besar dan kehadirannya tidak boleh diragui, pukul 8.00 pagi sudah datang (ke mahkamah).

"Isteri, dan adik beradik sentiasa datang, maka jika dibenarkan hanya jaminan mulut diberikan," hujah peguam kepada hakim.

Namun, Hakim menolak permohonan tersebut sebelum menetapkan jaminan wang sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mohammad Nizar, 58, dituduh memfitnah Najib dalam ceramahnya di Taman Desa Pakatan, Station 18 Ipoh pada 23 April 2012.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan “Saya juga dikhabarkan Najib baru-baru ini panggil semua pemimpin angkatan tentera, semua pegawai kanan angkatan tentera daripada darat ke, daripada laut ke, dan daripada udaranya.

“Najib bertanyakan pada mereka seandainya Barisan Nasional (BN) tumbang maka buatlah sesuatu.

"Saudara-saudara apa kata ketua-ketua angkatan tentera, mereka terbuka mereka belajar berkenaan apa yang berlaku di Timur Tengah maka mereka beritahu Najib, kami akan menyebelahi rakyat. Itu jawapan tentera".

Beliau turut mengeluarkan kenyataan “maknanya kalau rakyat menolak Barisan Nasional memilih Pakatan Rakyat ke Putrajaya maka tentera-tentera akan bersama dengan rakyat menyebabkan Najib menjadi pucat lesu sepucat-pucatnya. Najib ingat tentera ini boleh dimainkan”.

Pertuduhan tersebut dibuat sekali selepas Adun Changkat Jering itu dilepas tanpa dibebaskan atas dakwaan memfitnah Najib oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada 13 Januari lalu selepas pertuduhan itu dilakukan tidak mengikut peruntukan Seksyen 131 Kanun Prosedur Jenayah.

Pimpinan PAS termasuklah beberapa Adun iaitu Ustaz Abu Bakar Hussien (Titi Serong), Ustaz Radzi Zainon (Sungai Rapat), Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan (Gunung Semanggol), Husin Din (Selinsing), Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan ramai lagi hadir memberikan sokongan kepada Mohammad Nizar.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar dan Adun-Adun DAP turut hadir menyatakan solidariti ke atas Pengerusi Pakatan Rakyat Perak itu. - HARAKAHDAILY 30/1/2015

Share on Myspace