Bersih 3.0: Saman kerajaan terhadap Ambiga ditolak

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman difailkan kerajaan terhadap bekas pengerusi bersama Bersih Datuk S. Ambiga dan 14 anggota jawatankuasanya berhubung perhimpunan Bersih 3.0.

Pada 15 Mei, 2012, kerajaan menyaman mereka atas dakwaan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April, 2012 telah mengakibatkan kerosakan harta awam.

Dalam saman itu, ia memohon pampasan khas berjumlah RM110,543.27 sebagai kos untuk membaiki beberapa kenderaan polis, kos lain, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ia juga memohon pengisytiharan bahawa para defendan, selaku penganjur perhimpunan Bersih 3.0, telah melanggar Seksyen 6 (2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mereka mempunyai tanggungjawab, antara lain, memastikan perhimpunan itu tidak mengakibatkan kerosakan kepada harta awam.

Hakim Datuk John Louis O'Hara memutuskan dakwaan plaintif (kerajaan) tidak dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dikemukakan di hadapannya dari segi keseimbangan kebarangkalian.

Beliau juga menolak tuntutan kerajaan bagi satu pengisytiharan, ganti rugi khas dan faedah.

"Adalah jelas kepada mahkamah ini bahawa kerosakan dialami hanya berlaku selepas defendan pertama (Ambiga) menghentikan perhimpunan itu. Lagipun, tidak dibuktikan kepada mahkamah bahawa kerosakan yang berlaku sebenarnya disebabkan oleh peserta yang sah dalam perhimpunan itu atau oleh ejen bebas," katanya.

Hakim juga memutuskan liabiliti yang dikatakan itu tiada kaitan dengan penganjur berdasarkan fakta dan keterangan dalam kes itu.

"Juga terdapat isu tentang tindakan polis yang secara tidak langsung menyumbang kepada kerosakan itu yang kini turut didakwa oleh plaintif," katanya.

O'Hara berkata oleh itu, untuk mengatakan penganjur bertanggungjawab, bukan sahaja melangkaui skop dan tujuan Seksyen 6 (2) (g) akta itu tetapi juga bercanggah dengan keterangan dikemukakan di mahkamah.

Katanya lagipun mengikut Seksyen 7(a)(v) yang menetapkan peserta perlu mengelak daripada merosakkan harta awam, plaintif sepatutnya memberi tumpuan terhadap pelaku sebenar yang menyebabkan kerosakan dan kerugian itu.

Hakim juga memberikan RM21,000 sebagai ganti rugi kepada bekas anggota jawatankuasa pemandu Bersih Wong Chin Huat bagi penangkapan dan penahanan secara salah, diserang dan dipukul yang melanggar hak perlembagaannya selepas membenarkan tuntutan balasnya terhadap kerajaan.

O'Hara memerintahkan kerajaan membayar RM30,000 sebagai kos kepada Wong.

Semasa menolak tuntutan balas 14 yang lain bagi diisytiharkan bahawa Seksyen bercanggah dengan perlembagaan, O'Hara berkata para defendan tidak membuktikan bagaimana hak mereka terjejas oleh akta itu.

Beliau berkata Seksyen 6 menepati perlembagaan dan ia konsisten dengan beberapa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan dalam pernyataan tuntutannya berkata perhimpunan di sekitar Dataran Merdeka bertukar ganas apabila peserta merempuh penghadang polis.

Menurutnya, pada hari berkenaan, polis ditugaskan di sekitar kawasan itu untuk memastikan peserta perhimpunan tidak melanggar perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada 26 April, yang melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka dan orang awam tidak boleh berada di situ atau mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan protes antara 28 April dan 1 Mei, 2012. - Bernama

Share on Myspace