Mustafa akan buktikan Guan Eng berbohong

DATUK MUSTAFA ALI | .

SAYA telah membaca kenyataan Anthony Loke dan Zairil Khir Johari dan saya dapati bahawa kedua-duanya sama ada tak faham isu sebenar atau cuba mengalih isu.

Isu sebenar adalah mudah bahawa saya cabar Lim Guan Eng kerana dia menuduh saya tidak jujur dan saya kata dia berbohong. Sebenarnya dia yang berbohong dengan isu itu kerana mulut celuparnya.

Yang agak faham dengan isu ini adalah Khalid Samad walaupun saya tidak pernah berbincang dengan beliau mengenai hal ini. Beliau faham isu ini adalah antara saya dengan Lim Guan Eng dan tidak ada kena mengena dengan orang lain samada PAS atau DAP. Dan beliau cadangkan pertemuan diadakan untuk menyelesaikannya.

Ini adalah soal integriti seseorang. Kalau isu ini tidak diselesaikan, dalam keadaan integritinya tercabar sebagaimana saya dituduh tidak jujur, saya tidak layak duduk dalam pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Begitu juga Lim Guan Eng dalam dia dituduh berbohong, maka dia tidak layak duduk dalam majlis pimpinan tertinggi Pakatan.

Isu integriti ini penting untuk menjaga kepentingan Pakatan Rakyat dan ia mesti diselesaikan.

Saya tidak mahu libat pimpinan PAS yang lain dalam isu ini. Saya cabar Guan Eng manakala Loke dan Zairil tidak faham atau cuba alih isu sebenar.

Bagi saya jalan yang dicadangkan Zairil agar saya ke mahkamah panjang. Ia tidak akan menyelesaikan isu dengan cepat.

Kepada Loke, dia tidak payah berbelit. Saya tidak perlu cabar orang lain atau Umno kerana mereka tidak ada kena-mengena dalam isu ini.

Oleh itu, carilah masa yang sesuai dengan ada penyaksian. Saya akan buktikan dia berbohong.

Setiausaha Agung PAS
30 Januari 2015

Share on Myspace