Saman Felda: Peneroka lega dakwaan hina mahkamah ditolak

| .

KUALA LUMPUR: Kira-kira 700 Peneroka Felda Gugusan Chini melahirkan rasa lega apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memihak kepada mereka.

Menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, peneroka Felda Gugusan Chini sedang berdepan dengan kes kadar perahan gred yang sedang berjalan di mahkamah.

"Kes yang sedia ada boleh diteruskan pada Mac ini. Jika keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan tidak memihak kepada kita mungkin kes sedia tidak dapat berjalan lancar," katanya kepada Harakahdaily.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato' Seri Mariana Yahya, mengenepikan permohonan Peguam Felda ke atas Peguam Sivarasah dan Razali yang didakwa menghina mahkamah.

Peguam Sivarasah mewakili peneroka gugusan Chini dalam saman penipuan Kadar Perahan Gred (KPG) ke atas Felda.

Beliau dan Razali didakwa memberi ceramah di Felda Jengka 18 kononnya mengulas perbicaraan yang sedang berjalan. Mazlan turut berceramah pada malam itu.

Mazlan bersama kira-kira 100 peneroka turut berada di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini, dan keputusan itu sedikit sebanyak mengembirakan mereka.

Turut bersama memberi sokongan, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman, Pengerusi PKR Pahang, Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saat, Peguam Nizam Hamid, Lawyer Harris Abdullah dan YDP PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus.

Perbicaraan penipuan Kadar Perahan Gred (KPG) ke atas Felda akan bersambung semula pada Mac ini. - HARAKAHDAILY 30/1/2015

Share on Myspace