Hutang 1MDB lebih parah pada 2015, kata Rafizi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Masalah hutang akan menjadi lebih parah dalam tahun 2015 kerana 1MDB telah mengambil beberapa hutang jangka pendek (bridging loan) untuk memenuhi komitmen bayaran hutang-hutang lain.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan demikian merujuk kepada laporan Reuters bahawa 1MDB terpaksa mengambil hutang baru dari hartawan T Ananda Krishnan untuk membayar hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB yang sudah dua kali tertangguh mengesahkan bahawa 1MDB berhadapan dengan masalah aliran tunai.

Katanya, salah satu dari hutang jangka pendek (bridging loan) ini adalah sebanyak USD1 bilion (bersamaan RM3.6 bilion) yang diambil dari 6 buah bank yang diketuai oleh Deutsche Bank seperti yang dilaporkan oleh majalah kewangan antarabangsa International Financing Review (IFR).

(Rujuk laman International Financing Review http://www.ifre.com/another-mystery-around-1mdb/21180223.article)

Menurutnya, dalam laporan terbaru IFR mengenai 1MDB, kolumnis Jonathan Rogers mengesahkan bahawa 1MDB telah mengambil satu lagi hutang jangka pendek (bridging loan) berjumlah USD1 bilion dari konsortium 6 bank yang diketuai oleh Deutsche Bank yang perlu dibayar balik menjelang September 2015.

"Hutang USD1 bilion ini dilaporkan diambil oleh 1MDB dalam bulan Oktober 2014 iaitu di tengah-tengah kemelut hutang 1MDB mula mendapat perhatian umum," ujarya dalam satu kenyataan.

Lebih membimbangkan, katanya hutang USD1 bilion (yang nilai dalam ringgit terus meningkat melebihi RM3.6 bilion kerana kejatuhan matawang ringgit) ini diambil dengan syarat ia akan dibayar dalam bulan September 2015 menggunakan dana yang dikumpul dari penyenaraian aset penjana bebas (IPP) 1MDB yang sehingga sekarang terus bermasalah.

Menurutnya, proses penyenaraian tersebut kini terus tertangguh dan dijangka akan menghadapi masalah berterusan kerana kelewatan projek IPP Jimah Timur dan kredibiliti kewangan 1MDB yang terus merudum.

Tambahnya, tanpa projek IPP Jimah Timur dan dengan masalah keberhutangan 1MDB, dijangka sebarang penyenaraian melibatkan 1MDB tidak akan menarik minat pelabur-pelabur.

Oleh yang demikian, kata beliau adalah jelas bahawa 1MDB bukan sahaja berhadapan masalah membayar hutang RM2 bilion dari Maybank dan RHB, ia juga akan menghadapi masalah untuk membayar hutang USD1 bilion dari konsortium 6 bank yang diketuai oleh Duestsche Bank ini.

"Jika hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB telah menyebabkan 1MDB terpaksa menjual aset dan kepentingan kepada Ananda Krishnan, aset mana pula yang akan dijual untuk membayar hutang USD1 bilion ini menjelang September 2015?" tanya Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Pendedahan itu juga, ujarnya menimbulkan persoalan jika benar dana dari Pulau Cayman benar-benar telah dibawa pulang ke Malaysia, kenapa 1MDB tidak mempunyai dana untuk membayar hutang-hutang itu. - HARAKAHDAILY 31/1/2015

 

Share on Myspace