Lambakan beras kerana tidak ikut spesifikasi gred - Bernas

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Lambakan stok beras di sebuah kilang di Perlis berlaku disebabkan stok beras berkenaan yang dikeluarkan tidak menepati spesifikasi gred yang ditetapkan, menurut Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Bernas, dalam satu kenyataan pada Sabtu, berkata beras Super Tempatan 15 peratus (ST15) berjumlah 6,029 tan metrik yang dikeluarkan oleh kilang tersebut terpaksa diproses semula sebelum boleh dipasarkan.

"Bernas menawarkan bantuan kepada Kilang Dibuk Sdn Bhd untuk memproses semula keseluruhan stok beras tersebut di Pusat Pemprosesan Bernas Bukit Raya di Kedah namun kilang itu menolak dan membuat keputusan untuk memproses stok beras tersebut di premisnya sendiri.

"Pihak Bernas hari ini telah berhubung dengan pengarah urusan kilang itu dan beliau memberi jaminan pemprosesan semula stok beras akan dijalankan segera sebaik pemasangan mesin 'colour sorter' selesai minggu hadapan," menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Bernama melaporkan Bernas diminta supaya mengeluarkan segera beras yang telah diproses daripada pusat belian padi swasta yang dilantik mereka. - Bernama

Share on Myspace