Razif ‘pak turut’ yang penakut

MOHD NOR HAMZAH | .

TINDAKAN Menteri Besar Terengganu YAB Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang secara tiba-tiba, mengeluarkan kenyataan berkaitan jumlah wang dana khas yang beliau dakwa akan menyusut ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia sebenarnya adalah satu kenyataan yang sangat mengelirukan orang ramai terutama rakyat Terengganu yang masih mempunyai hak sepenuhnya ke atas wang tersebut.

Entah kenapa dan apa sebabnya dengan tidak semena-mena dalam kenyataan menyokong tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beliau membandingkan wang itu dengan harga minyak dunia sedangkan dalam ucapan pembentangan bajet baru-baru ini beliau secara jelas menyatakan tidak mahu ambil peduli sama ada wang itu dipanggil royalti atau dana ehsan atau apa-apapun.

Razif sepatutnya bimbang dengan penyusutan jumlah perolehan wang itu dan mesti dengan segala daya upayanya mempertahankan jumlah wang dana khas yang sepatutnya diterima oleh rakyat Terengganu.

Jika dia menganggap duit dana khas itu bukan royalti, maka semestinya jumlah yang patut diterima rakyat Terengganu adalah sama dengan seperti jumlah tahun-tahun lalu dan bukannya lima peratus mengikut harga pasaran semasa minyak dunia. Tetapi jika dia menganggap bahawa duit itu royalti, dan harus mengikut harga semasa minyak dunia, maka kenapa dia tidak mengaku sebelum ini? Seharusnya dia mesti menyatakannya secara khusus dan bukannya bersikap “kluk-klek” iaitu tidak tetap pendirian.

Amat memalukan kerana sikap Razif begitu penakut untuk menyatakan sebarang sikap berkenaan isu royalti ini dan kelihatan seperti ‘Pak Turut’, berlainan sekali dengan ketegasan Datuk Seri Ahmad Said, mantan MB Terengganu dahulu yang secara jelas meminta kembali status royalti petroleum itu dikembalikan kepada Terengganu daripada kerajaan pusat.

Lihatlah kelemahan pemerintahan Umno di Terengganu yang mana rezab negeri tidak pernah ada walaupun mempunyai pendapatan antara yang tertinggi di Malaysia. Keborosan, pembaziran, penyelewengan, salah urus berlaku sejak zaman dahulu lagi yang menyaksikan laporan demi laporan ketidakcekapan pengurusan oleh Jabatan Audit Negara ke atas kerajaan Terengganu.

Belanjawan saban tahun defisit. Dan walaupun berjumlah lebih daripada RM2 bilion, lebih tinggi dari negeri maju Selangor, Terengganu tetap seperti dulu. Seharusnya, Terengganu yang mempunyai pendapatan yang konsisten tinggi semenjak puluhan tahun, sudah mempunyai rezab yang besar dan boleh digunakan ketika musim “kemarau”. Namun pengurusan kewangan seperti Nabi Yusuf a.s., tidak diambil contoh dan tauladan oleh kerajaan Umno.

Lebuh raya Pantai Timur (LPT) yang menjadi modal ‘sembang’ Umno Terengganu, turut menyaksikan kerugian yang mengakibatkan projek LPT itu tertangguh beberapa lama. Sedangkan kontraktor yang terbabit tidak dikenakan apa-apa hukuman.

Dan lebuh raya yang unik itu, yang menggunakan sebahagian wang kerajaan negeri, telah diisytiharkan boleh digunakan sepenuhnya dari Kuala Terengganu ke Jabor oleh MB dua hari lalu, tetapi semalam, masih banyak lagi kon-kon yang berada di atas jalan LPT. Ada pengguna LPT terpaksa keluar Paka setelah gagal melalui jalan ke Jabor. Adakah MB ingin mengambil peranan Menteri Kerja Raya? Atau adakah ini satu pembohongan bagi menaikkan imej?

Saya juga ingin menyentuh berkenaan cadangan YAB Perdana Menteri ketika dalam ucapan beliau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya tempoh hari berkenaan penstrukturan semula belanjawan negara, sepatutnya dilakukan di dalam parlimen dan bukannya di luar. Saya sangat berharap agar Razif, walaupun mahu menjadi 'pak turut', tapi jangan terlalu penakut sehingga mengikuti segala langkah YAB PM sama ada betul atau salah.

10 Rabiu’lakhir 1436/31 Januari 2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu yang juga Adun Bukit Payong, Marang.

Share on Myspace