Zahid diminta jawab projek IPK Johor RM103 juta terbengkalai

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negei, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diminta memberi penjelasan berkenaan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan pembinaan IPK Johor bernilai RM103,556,694.84 mampu disiapkan dengan segera.

Timbalan Pengerusi Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Batu, Jimmy Puah dan Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Akmal Nasir membuat gesaan itu dalam satu kenyataan bersama, sebagaimana di bawah.

Berdasarkan lawatan kami ke tapak projek, projek pembinaan tambahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang terletak di bandar Johor Bahru yang bermula sejak tahun 2010 masih terbangkalai. Perkara ini telah dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor dan maklum balas yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah projek ini sepatutnya siap pada Julai 2013.

Namun projek ini masih gagal disiapkan selepas 5 tahun dimulakan atau lebih daripada 18 bulan daripada tempoh projek ini patut disiapkan. Kontrak pembinaan IPK Johor ini bernilai RM103,556,694.84 yang merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, tempat letak kereta bertingkat dan perumahan anggota polis.

Kegagalan untuk menyiapkan pembinaan IPK Johor sebelum ini telah mendapat perhatian YB Datuk Nur Jazlan Mohamed, pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Jun tahun lepas. Beliau telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini jika berlaku kecuaian, ketirisan dan penyelewengan sehingga menyebabkan ia gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Malangnya PAC dan SPRM juga masih gagal untuk membentangkan sebarang maklumat berkenaan hasil siasatan mereka atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan mengapa projek pembinaan IPK Johor lewat dan sehingga kini masih terbengkalai.

Persoalan kini seharusnya ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku pemilik projek pembinaan IPK Johor. KDN sepatutnya mempunyai pelan tindakan susulan memandangkan projek ini sudah lama terbengkalai dan mencari jalan bagaimana untuk memastikan pembinaan ini dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat dan keselamatan awam.

Maka, kami meminta agar YB Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Menteri KDN untuk memberi penjelasan berkenaan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan pembinaan IPK Johor mampu disiapkan dengan segera dengan menjawab soalan-soalan yang berikut:-

1. Siapakah kontraktor yang bertanggungjawab yang menyebabkan projek ini gagal dan apakah kriteria pemilihan kontraktor?

2. Apakah status terkini pembinaan? Bilakah projek ini dijangka akan siap?

3. Apakah tindakan yang telah dikenakan dan akan dikenakan kepada kontraktor tersebut yang telah gagal memenuhi syarat kontrak iaitu menyiapkan projek menjelang Julai 2013?

4. Adakah terdapat projek-projek pembinaan untuk kontinjen Polis di tempat lain yang turut mengalami kelewatan atau terbengkalai?

5. Apakah kesan kelewatan projek ini terhadap tugasan dan kelancaran kontinjen Polis Johor?

Kami amat berharap agar YB Datuk Seri Zahid Hamidi dapat meluangkan sedikit masa bagi menjawab persoalan kami. Jika gagal memberi respons atau jawapan yang memuaskan sebelum Rabu ini, kami tiada pilihan melainkan untuk tampil dengan pendedahan yang berikutnya. - HARAKAHDAILY 31/1/2015

Share on Myspace