Hamas kecam Mesir senarai Al-Qassam sebagai pengganas

HARAKAHDAILY | .

GERAKAN Islam Palestin Hamas, mengecam keputusan mahkamah Mesir yang memasukkan sayap tentera mereka, Brigade Izzuddin Al-Qassam dalam senarai hitam organisasi pengganas.

"Kami menolak keputusan mahkamah Mesir terhadap Al-Qassam. Ini adalah urusan politik, keputusan berbahaya yang berfungsi hanya menguntungkan pendudukan Zionis," kata jurucakap Hamas , Sami Abu Zuhri seperti dilaporkan Press TV, semalam.

Memetik laporan laman web Islampos, sebelumnya pada hari itu, Mahkamah Kaherah mendakwa bahawa kumpulan Hamas terlibat dalam serangan terakhir terhadap pasukan keselamatan Mesir.

"Mahkamah memutuskan untuk melarang Brigade Al-Qassam dan memasukkannya ke dalam senarai kumpulan pengganas," kata Hakim Muhammad al-Sayid dalam keputusan yang selaras dengan tindakan keras sistematik terhadap pembangkang oleh pemerintahan Presiden Abdel Fattah el-Sisi.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan sayap bersenjata Hamas berkata gerakan Hamas tidak lagi menerima Mesir sebagai orang tengah antara Palestin dan rejim Israel, dengan mengatakan, "Setelah keputusan mahkamah Mesir, maka Mesir tidak lagi menjadi orang tengah dalam urusan Palestin-Israel". 

Share on Myspace