Cara hidup pemimpin negara perlu jadi indeks syariah

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan memberi keutamaaan dahulu untuk meminda peruntukan undang-undang yang menghalang pelaksanaan syariah ketika mengenengahkan indeks syariah seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Kami juga menggesa supaya contoh teladan di kalangan pemimpin negara sendiri yang perlu ditunjukkan.

Tanpa kedua-dua perubahan ini, indeks syariah hanya menjadi retorik yang tidak membawa kesan kepada kehidupan rakyat dinegara ini.

Kami menegaskan tabiat dan budaya serta amalan hidup pemimpin-pemimpin negara hendaklah juga menjadi indeks syariah yang menjadi petunjuk kepada sejauh mana kesungguhan pihak pemerintah mengenengahkan syariah sebagai sistem hidup yang menyeluruh. Adalah suatu kejanggalan jika maudhu' syariah diwar-warkan oleh pemimpin negara namun budaya hidup membazir dan bermewahan diamalkan oleh ahli keluarga pemimpin sendiri yang bercanggah dengan syariah.

Tidak disangkal lagi kemahuan masyarakat Islam di negara ini kepada pelaksanaan syariah terbukti di dalam tinjauan Pew Research Center di seluruh dunia pada 2013. Ia mendapati peratusan besar Muslim di banyak negara mahu undang-undang Islam (syariah) dimaktubkan sebagai undang-undang rasmi di negara mereka tetapi cuma dilaksanakan ke atas penduduk Islam sahaja. 86% penduduk Muslim di Malaysia dan 72% di Indonesia yang ditemubual dalam tinjauan tersebut mahu undang-undang syariah dilaksanakan di negara mereka.

Kami menyarankan Indeks Undang-undang Syariah hendaklah dijadikan sebagai salah satu indeks yang utama kerana ia akan menjadi kayu ukur tahap pelaksanaan syariah di negara ini.

Jika kerajaan serius untuk memajukan syariah di negara ini, persoalan bidang undang-undang syariah, bidang kuasa serta status Mahkamah Syariah perlu disemak semula bertujuan menaik taraf dan mengangkat martabat syariah.

Halangan terbesar implementasi syariah dalam negara ternyata wujud dalam konteks perundangan. Mahkamah Agung pernah memutuskan menerima bahawa Islam di bawah Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan ialah agama Persekutuan dan bukan sahaja terdiri daripada upacara dan ibadat sahaja tetapi ia juga satu cara hidup yang sempurna merangkumi semua bidang kegiatan manusia sama ada persendirian, umum, perundangan, politik, sosio-kebudayaan, moral atau kehakiman.

Yang jelas Islam tidak seharusnya difahamkan seperti Suruhanjaya Lord Reid yang menggubal Perlembagaan Pesekutuan dan juga oleh kelompok sekular-liberal iaitu hanya melihat Islam secara sempit meliputi hanya undang-undang mengenai perkahwinan, perceraian dan harta pusaka sahaja.

Oleh kerana faham sekular sempit ini masih berterusan dianuti oleh kebanyakan para ahli perundungan negara maka sepatutnya peruntukan khas dimasukkan di dalam perlembagaan yang memperuntukkan bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan undang-undang Islam, maka undang-undang itu batal.

Persoalannya mahkamah sivil dan pihak Peguam Negara sering menolak cadangan ini dan menegaskan ia bercanggah dengan perlembagaan dan sejarah perundangan persekutuan dan juga akta undang-undang sivil yang memperuntukkan penerimaan undang-undang Inggeris ke negara ini.

Persoalan inilah yang sering dibahaskan apabila terdapat percanggahan antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Mahkamah masih lagi terikat dengan pendapat hakim-hakim berpendidikan Barat sebelum merdeka yang menganggap bahawa Islam hanyalah dalam hal nikah, cerai, harta pesaka dan wakaf sahaja. Satu pendekatan yang berlainan sepatutnya diambil untuk memberi tempat yang sepatutnya kepada Islam sebagai agama Persekutuan.


Kami juga memandang serius isu bidang kuasa mahkamah syariah dalam hal undang-undang jenayah juga menjadi isu pokok yang perlu diberi fokus utama bila persoalan pelaksanaan syariah diketengahkan.

Sebagai contoh di bawah Akta Mahkamah-mahkamah Islam (Bidangkuasa Jenayah) 1965, pindaan 1984 bidangkuasa mahkamah syariah hanya meliputi kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih daripada RM5,000, rotan yang tidak melebihi 6 kali atau kombinasi mana-mana daripada hukuman tersebut.

Bidang kuasa ini terlalu kecil dibandingkan dengan kuasa majistret kelas pertama yang boleh menghukum sehingga 10 tahun penjara, denda sehingga RM10,000.00, rotan sehingga 12 kali atau mana-mana kombinasi hukuman di atas.

Kami kesal bahawa kemajuan syariah Islam sebagai suatu sistem yang sepatutnya dikembangkan sejak negara mencapai kemerdekaan ternyata sangat lembab akibat faham sekular yang maseh kuat mempengaruhi pihak pemerintah dan golongan intelektual elit yang berpegang kepada pemisahan antara agama dan uruskelola negara.

Akibatnya, syariah Islam yang sepatutnya dimajukan sebagai suatu peraturan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan ternyata dihadkan hanya kepada beberapa aspek kekeluargaan semata-mata.

Kami berpendapat sudah sampai masanya anjakan besar dilakukan untuk memartabatkan syariah di negara ini bukan sahaja diperingkat amalan budaya hidup masyarakat Islam akan tetapi juga di peringkat dasar dan perundangan negara.

Kerajaan harus serius dan ikhlas melaksanakan syariah dengan menilai semula semua aspek pembangunan yang bercanggah dengan syariah seperti pembangunan industri arak, rokok dan judi. Tidak ada alasan lagi untuk industri ini diteruskan kerana ia berlawanan dengan maqasid syariah itu untuk menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda. - HARAKAHDAILY 1/2/2015

Penulis ialah Presiden Mapim.

Share on Myspace