PAS dan pilihan raya PBT

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

PAS sejak lama menolak pilihan raya PBT. Ia bukan pendirian peribadi Presiden PAS. Jika ada yang menganggapnya sebagai pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti, maka ia adalah salah dan amat malang jika ia tidak difahami oleh pemimpin PAS sendiri.

Demokrasi jangan ditafsirkan sebagai jalan menuju keadilan melalui pilihan raya semata-mata atau menganggap ketidakadilan hanya boleh dihapuskan melalui pilihan raya semata-mata.

PAS memahami demokrasi dalam kerangka pandangan Islam yang lebih adil. Ia mensasar mencapai keadilan, bukan merajakan jalan-jalan menuju keadilan yang boleh berubah-berubah dan diikat dengan syarat dan kesesuaian.

Negara barat yang mempromosi demokrasi berpilihan raya, negara itulah juga yang mempertegaskan hak veto untuk mereka sendiri di PBB yang mematikan hak majoriti dalam memutuskan keputusan.

Ia jelas zalim. Justeru jika pilihan raya ditolak dengan tujuan melihat kepada jalan keadilan yang lebih baik daripadanya, maka ia adalah lebih utama untuk diterima.

Keadilan dicapai pada zaman Rasulullah. Ia dicapai pada zaman sistem khilafah. Ia juga dicapai pada zaman beraja seperti zaman Umar Abdul Aziz dan raja-raja selepasnya. Ia juga dicapai dalam sistem demokrasi hari ini yang dicedok asalnya daripada sistem syura Islam yang adil di sepanjang zaman.

Anda perhatikan, adakah negara kita perlu menukar sistem beraja demi mencapai keadilan dengan alasan dengan adanya raja, maka keadilan akan terbantut selamanya?

Jika begitu, kita sudah terlalu jauh merajakan demokrasi dan pilihan raya. Islam menolaknya. - HARAKAHDAILY 1/2/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Share on Myspace