41 tahun Wilayah Persekutuan, agenda bela rakyat dan isu PBT

MOHAMAD NOOR MOHAMMAD | .

Alhamdulillah hari ini Wilayah Persekutuan telah genap usia 40 tahun penubuhannya. Biasanya angka 40 tahun ini melambangkan kematangan usia seseorang individu atau sesuatu organisasi.

Namun perkembangan yang berlaku sejak mutakhir ini meletakkan kita pada situasi yang mencemaskan untuk mendidik dan memandu generasi yang akan datang berikutan siri polisi-polisi pemerintah yang dilihat bahkan dibuktikan gagal memainkan peranan yang sepatutnya.

40 tahun PAS beristiqamah bela nasib warga kota

PAS Wilayah Persekutuan juga turut merentasi usia 40 tahun seiringan dengan usia penubuhan Wilayah Persekutuan.

PAS Wilayah Persekutuan memainkan peranan membawa tanggungjawab dan amanah besar rakyat untuk menegur dan memperbetulkan segala kebobrokan yang dilakukan oleh pihak pemerintah yang ditunjangi oleh Umno Barisan Nasional sejak dari awal penubuhannya lagi.

PAS Wilayah Persekutuan sangat konsisten membawa mesej Islam kepada seluruh warga kota. Bahkan PAS Wilayah Persekutuan akan "terus beritiqamah" meneruskan agenda memperjuangkan dan membela nasib warga kota.

Isu nasib warga kota di Kampung Baru, isu Kampung Chubadak, isu warga geladangan dan senarai panjang yang lain merupakan di antara siri-siri terbaru kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan yang ditunjangi oleh Umno.

PBT dan 'zaman gelap' bumi bertuah Malaysia

PAS Wilayah Persekutuan juga ingin menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkenaan isu PBT.

PAS Wilayah Persekutuan melihat sikap dan pendirian DAP berkenaan isu pilihan raya PBT akan mengundang Malaysia kembali kepada 'zaman gelap' yang pernah dilalui oleh negara ini pada suatu ketika masa dahulu.

DAP seharusnya menumpukan kepada usaha-usaha untuk membawa rakyat Malaysia ke arah kesejahteraan. Umno Barisan Nasional pasti akan bertepuk tangan dengan sikap dan pendirian rakan pakatan kita ini. Ianya memudahkan lagi pihak Umno Barisan Nasional meracuni minda rakyat Malaysia dengan propaganda hasil ketidakmatangan kita dalam menangani isu sensitif seumpama ini.

Ayuh fokuskan kepada isu-isu nasional dan tempatan lain yang jauh lebih penting untuk menghapuskan kezaliman yang sedang berlaku sekarang. Usah menimbulkan polemik baru dalam Pakatan Rakyat.

'Terus Beristiqamah'

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
1hb Febuari 2015

Share on Myspace