Hari Wilayah: Bina belantara konkrit abai peneroka bandar

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

Dari jajaran rumah papan beratap nipah membentuk sebuah pekan kecil. Terlihat segelintir rakyat berniaga di pinggiran dan membanting tulang di perlombongan bijih timah. Manakala, penjajah British telah mula berpindah dari ibu kota Klang ke kuala dua sungai. Maka, episod pembangunan dan pemusatan kuasa bermula.

Sejak 1 Februari 1974 hingga 1 Februari 2015, pelbagai kemajuan telah dikecapi di Wilayah Persekutuan. Kerukunan sosial, keluasan jaringan infrastruktur, kerancakan perbandaran, kepesatan ekonomi, dan kehijauan landskap. Namun, masih banyak ruang yang perlu dikoreksi untuk memulihkan ikon negara daripada kehilangan identiti yang sebenar.

Secara prinsip umumnya, segenap kaum dan bangsa ingin mendiami sebuah negeri yang aman dan makmur. Bebas dari penindasan, mengecapi ketenangan, mengutama kebajikan, dan melaksana amalan agama dengan penuh keharmonian. Apatah lagi, bagi umat Islam kehidupan tidak akan berakhir di sini, malah dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

Kita sewajarnya mengambil iktibar sejarah. Kota London pernah tenat dengan kancah perindustrian. Kota Mexico dibelenggu dengan kadar kemiskinan. Dan, Kota Beijing sarat dengan pencemaran. Ini adalah akibat daripada pembangunan yang tidak seimbang sehingga menidakkan kesejahteraan rakyat.

Terdapat beberapa segmentasi yang perlu difokuskan.

Pertama ialah segmentasi integrasi kaum dan kehidupan beragama. Di Wilayah Persekutuan, kemajmukan masyarakat terlalu kompleks. Namun, sebarang sentimen perkauman harus segera dibendung supaya ia tidak diseret ke dalam kancah pihak yang berkepentingan.

Begitu juga penghayatan hidup beragama. Cabaran kemajuan sesuatu masyarakat seringkali berkait dengan pengabaian terhadap agama. Oleh yang demikian, saluran dan mekanisme dakwah perlu diperhebatkan. Persekitaran beragama perlu sentiasa dihidupkan. Malah, permintaan institusi pendidikan Islam seperti sekolah agama sangat tinggi.

DPPWP juga telah membantah sebarang usaha yang dilakukan untuk membudayakan hedonisme. Malah, kami telah menyuarakan desakan supaya pihak berautoriti mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti black economy kerana ia jelas merosakkan individu dan institusi sosial penting iaitu keluarga.

Kedua adalah segmentasi kebajikan dan sosio ekonomi. Pada tahun 2013 dan 2014, kita telah melihat kesan gandaan daripada kenaikan tarif elektrik, cukai taksiran dan petrol terhadap kadar inflasi. Tambahan pula, ia turut dibebani dengan kenaan tol yang banyak, kadar caj parkir yang terlalu tinggi, kos jagaan anak dan kenaikan harga makanan dan barang keperluan.

Maka, golongan pertengahan yang perit berhadapan dengan cabaran paling kritikal sehingga memaksa pasangan suami isteri bekerja untuk menyara kehidupan di bandar. Natijahnya, sistem sokongan keluarga rapuh dan berantakan. Malah, sudah menjadi kelaziman di Kuala Lumpur, terlalu ramai golongan gelandangan yang berpeleseran tanpa bimbingan dan kurang perhatian.

Berdasarkan kemelut tersebut, DPPWP telah menyuarakan keperitan ini terhadap Kementerian Kewangan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, DBKL dan Tenaga Nasional Berhad supaya membuat pertimbangan yang adil sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh menekan rakyat.

Malah, kami telah mencadangkan agar pihak kerajaan membangunkan tanah wakaf yang berkeluasan kira-kira 270 hektar di Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk tujuan membina anjung persinggahan kepada golongan yang tidak bernasib baik. Begitu juga dalam masa terdekat, kami akan menganjurkan tuisyen persekolahan percuma di beberapa kawasan Parlimen serta membawa isu perumahan ke peringkat nasional.

Segmen ketiga ialah perancangan bandar yang sistematik, berobjektif dan selamat. Terdapat beberapa projek sakit dan kritikal antaranya seperti Projek Dusun Bandar dan Projek Pembinaan Menara Warisan. Kita tidak mengabaikan pembangunan. Tetapi, kita membantah projek-projek yang dijalankan secara tidak berintegriti dan tidak efisyen kerana sebahagian projek tersebut melibatkan duit pembayar cukai.

Begitu juga keghairahan membina belantara konkrit sedikit sebanyak telah mengabaikan hak penduduk tempatan atau peneroka bandar seperti dalam isu di Kg Berembang, Kg Chubadak dan Kg Baru sebelum ini. Apa yang dibimbangkan juga adalah status-status pendaftaran dan pemilikan tanah serta pembangunan residensi dan hab komersial mewah sehingga menyingkirkan penduduk tempatan secara terancang.

Selain itu, projek-projek pembandaran harus mengambil kira perubahan struktur muka bumi dan perubahan iklim. Kita dipapar dengan musibah banjir di kawasan Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Namun, terdapat juga beberapa kawasan di tengah bandaraya Kuala Lumpur juga bergelut dengan situasi banjir kilat. Malah, ada sebab juga untuk dibimbangkan apabila satu kajian mendedahkan sebanyak 620 kawasan cerun dikategorikan sebagai sangat bahaya.

Ini adalah sebahagian isu yang telah dan akan dibangkitkan untuk memastikan Wilayah Persekutuan menjadi sebuah negeri contoh yang dibangunkan atas dasar keseimbangan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Sempena meraikan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2015, kami komited untuk terus mewarnai negeri yang dikasihi ini dengan acuan yang tersendiri dan inklusif.

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2015!

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan 2013/2015

Share on Myspace